SHAH ALAM – Sinar Karangkraf melancarkan tabung untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM250,000.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, tabung yang dinamakan Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x SyriaCare untuk Turkiye & Syria itu diaktifkan bermula hari ini melibatkan kerjasama strategik Sinar Harian bersama Syria Care dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berkata, tabung berkenaan dilancarkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat atas dasar kemanusiaan.
“Kita lancar tabung ini bermula 8 hingga 28 Februari depan dengan sasaran untuk mengumpulkan dana sebanyak RM250,000 bagi membantu mangsa gempa bumi di sana.
“(Selepas 28 Februari) kutipan ini akan terus dibuka dan dihantar secara berperingkat bergantung kepada jumlah kutipan dana itu nanti,” katanya di sini pada Selasa.
Nik Justin berkata, tabung kemanusiaan itu sudah dilaksanakan Kumpulan Karangkraf sejak lebih tiga tahun lalu.
“Tabung ini akan diaktifkan sebaik sahaja berlaku bencana sama ada di dalam dan luar negara,” jelas beliau.
Mengenai kerjasama dengan Syria Care, Nik Justin berkata, Karangkraf mengambil kira rangkaian yang dimiliki pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
“Sebelum ini Karangkraf bergerak sendiri tetapi kali ini kita mengambil langkah untuk bekerjasama dengan Syria Care dan UIAM.
Menerusi Syria Care, proses pengagihan dan penyelenggaraan bantuan dapat berjalan lancar memandangkan mereka sudah mempunyai rangkaian di sana.
“Kita turut mengalu-alukan kerjasama daripada badan korporat dan NGO lain untuk bersama-sama mengumpulkan dana tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil kutipan itu menyasarkan empat kegunaan penting, antaranya bantuan penempatan sementara bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta bantuan makanan, ubat-ubatan dan peralatan musim sejuk seperti selimut, pakaian dan alat pemanas.
Menurut Nik Justin, sebarang bantuan boleh disalurkan melalui akaun 5642-7652-9068 (Maybank) atas nama Sinar Karangkraf atau hubungi menghubungi talian sekretariat di 019-2133315.
Sementara itu, Pertubuhan Syria Care menggerakkan bantuan kecemasan untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria dengan mengumpulkan bantuan kewangan bagi membeli pelbagai keperluan mendesak termasuk peralatan musim sejuk.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, turut terkandung dalam bantuan kecemasan itu ialah makanan, ubat-ubatan dan bahan bakar.
“Kita menggalakkan penyumbang memberikan bantuan dalam bentuk wang ringgit kerana mahu mengurangkan kos logistik membawa peralatan dari sini (Malaysia), di samping beberapa kekangan lain.
“Kita sudah menggerakkan (kumpul bantuan) dari semalam (Isnin). Sasaran kita buat masa ini ialah dengan meletak dahulu RM100,000 (dalam tabung) untuk tempoh dua minggu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengenai cabaran musim sejuk yang sedang melanda negara terjejas itu, Siti Sakinah berkata, barangan seperti baju dan selimut kini merupakan keperluan mendesak.
“Bencana ini berlaku pada musim sejuk dan rata-rata mangsa tinggal sehelai sepinggang. Bayangkan bagaimana keadaan mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara ketika ini,” katanya.