Amnesty International mendesak regim Bashar al Assad untuk memberi kerjasama kepada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan kemanusiaan bagi mengelak penularan Covid-19 di penjara, pusat tahanan dan hospital tentera.
Tegasnya, setiap tahanan mempunyai hak untuk dilindungi dan mendapat rawatan dari ancaman pandemik.
Menurut pertubuhan hak asasi manusia itu, berpuluh ribu mereka yang dipenjara dan ditahan kini berisiko dijangkiti virus berkenaan kerana keadaan yang tidak bersih.
“Di penjara dan pusat tahanan Syria, Covid-19 akan merebak dengan cepat kerana tahap kebersihan yang daif, kekurangan air bersih dan keadaan begitu padat,” kata Pengarah Penyelidik bagi Asia Barat, Amnesty International, Lynn Maalouf.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, ia turut membidas layanan regim selama ini ke atas mereka yang ditahan dan dipenjara kerana telah dinafikan untuk mendapat rawatan dan ubat-ubatan.
Katanya, Bashar mempunyai rekod buruk berhubung layanan ke atas seteru politiknya.
“Semua tahanan-aktivis politik, pejuang hak asasi manusia dan mereka yang dipenjarakan kerana memperjuang hak kerana aman perlu dibebaskan segera tanpa syarat.
Pembebasan awal banduan berisiko, seperti yang telah tua atau mereka yang berada dalam tahap kesihatan yang lemah perlu diambil kira,” kata Amnesty International. Foto SOHR.
Razali Awang
Media Syria Care