Omma dan Shaam.
Saya telah mengenalinya sejak beberapa tahun yang lepas. Shaam telah membantu dalam mempromosikan berkenaan Kempen Ramadan kami beberapa kali. Menjadi suara bagi masyarakat setempatnya di Selatan Damsyik. Malah sebelum menjalankan penggambaran untuk video promo saya telah menghantar skrip dan cara menyebut secara detail kepada rakan kerjasama kami di Selatan Damsyik dan mereka melatih Shaam sehingga dia mampu ‘bercakap Melayu’.
Perkembangan terkini di Selatan Damsyik telah memaksa Shaam serta ribuan warga Selatan Damsyik untuk berpindah ke kawasan lain di utara Syria.
Dan semalam saya berpeluang bertemu dengannya!
Team Syria Care telah memasuki Syria semalam dan satu pertemuan telah diaturkan di Souran antara kami.
Awal-awal melihatnya masuk hati saya terus sebak dan airmata saya tak dapat dibendung. Saya bertanya kepadanya “Kamu kenal saya?” dan dia mengangguk. Saya memeluknya erat. Seperti saya memeluk cucu saya sendiri yang terpisah lama. Kerana jarak tempat tinggalnya sebelum ini saya tidak pernah terfikir akan bertemu dengannya. Tapi aturan Allah telah memungkinkan segalanya.
Sewaktu pihak lelaki keluar solat saya mengambil kesempatan bersembang dengannya. Masya Allah sungguh petah dia berkata-kata.
Saya bertanya tentang perjalanan mereka dari Selatan Damsyik yang menurut ayahnya mengambil masa 5 hari adakah dia takut? Dia menjawab “Tidak sama sekali!”
Dan saya juga bertanya berkenaan keadaan sewaktu dia di Babila adakah serangan berlaku?
Dengan tidak teragak-agak Shaam berkata “Hari-hari ada serangan udara. Kadang satu kadang 10 kadang lebih”.
Saya bertanya lagi “Shaam tak rasa takut ke?”
Laju sahaja dia menjawab “Kali pertama mungkin takut. Tapi kali kedua ketiga dan seterusnya saya tak takut langsung. Malah dengan Assad pun saya tak takut!’
Masya Allah sayangku Shaam. Sungguh berani dirimu dan kental jiwamu. Dia menceritakan pada saya yang dia bakal memasuki darjah satu.
Semoga Allah pelihara keselamatanmu dan memudahkan urusanmu. Omma berdoa akan dapat bertemu lagi denganmu kelak sayang.
Omma Sakinah @ Ustazah Sakinah
Souran, Syria
1 Ramadan 1439H
17/5/2018