Siapa perlu keluar? White Helmets atau Rusia

15.10
Penduduk Khan Sheikhoun, di pinggir Idlib menentang keras sebarang usaha Rusia untuk mengusir keluar sukarelawan White Helmets dari Syria.
Sebagai bantahan, mereka keluar menunjuk perasaan membantah cadangan oleh wakil Rusia pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
 
Dalam kenyataan yang dibuat pada mesyuarat tertutup Khamis lalu, wakil Moscow menyifatkan sukarelawan White Helmets sebagai punca ancaman di Syria dan dituduh sebagai tali barut pengganas.
 
“Kami meminta negara Barat supaya memindah White Helmets dari Syria. Pengganas perlu diusir. Bukannya satu idea yang bagus untuk bersama mereka dalam masyarakat yang bertamadun,” kata wakil Rusia seperti dilapor AFP.
 
Menurut agensi itu, maklumat berkenaan diperolehi daripada diplomat yang hadir pada mesyuarat berkenaan dan identitinya dirahsiakan.
 
Katanya lagi, kenyataan itu menyebabkan pertikaman lidah dengan wakil negara anggota Majlis Keselamatan.
 
Antaranya, Britain, Amerika Syarikat dan Perancis.
 
“Sementara itu, Britain meminta Rusia berhenti membazir masa Majlis Keselamatan manakala Perancis berkata ia terkejut dan kecewa kerana kumpulan itu (White Helmets) telah menyelamat ratusan nyawa,” jelas diplomat berkenaan.
 
Reaksi yang sama turut diberikan wakil Washington.
“White Helmets adalah pertubuhan kemanusiaan. Rusia berterusan menyebar maklumat palsu”, katanya.
 
White Helmets diasaskan pada 2013, turut dikenali sebagai Syria Civil Defence, bertanggungjawab sebagai sukarelawan mencari dan menyelamat nyawa mangsa konflik di Syria.
 
Selain itu, ia turut mendokumentasi kemusnahan, pencabulan hak asasi manusia dan serangan yang dilakukan regim Bashar al Assad, Rusia dan konco-konconya ke atas orang awam yang tidak berdosa.
 
Tugasan itu tidak disenangi pihak berkenaan kerana ia menjadi bukti kekejaman yang selama ini dilakukan ke atas penduduk Syria./Foto White Helmets.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini