Saya berdiri di hadapan makam Imam an-Nawawi.
Sejujurnya, macam tak percaya hari ini Allah beri peluang untuk saya sampai ke Nawa, sebuah bandar di wilayah Daraa, di selatan Syria.
Mungkin bagi sesetengah orang, Nawa hanyalah sebuah bandar kecil. Tetapi daripada bumi inilah lahirnya seorang ulama besar yang namanya kita kenal sehingga hari ini. Imam Yahya bin Syaraf an-Nawawi. Malah nama “an-Nawawi” itu sendiri adalah nisbah beliau kepada tempat kelahirannya, Nawa.
Di sinilah beliau dilahirkan pada tahun 631H, sebelum berhijrah ke Damsyik untuk menuntut ilmu. Setelah menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan belajar, mengajar dan menulis, beliau akhirnya kembali ke Nawa dan dikebumikan di tanah kelahirannya.
Ada satu perkara yang menarik perhatian saya ketika berada di sini. Bahagian bumbung di atas makamnya tidak tertutup sepenuhnya. Ada ruang terbuka, dan sebuah pohon besar tumbuh menaungi kawasan makam.
Rupanya ada kisah tersendiri di sebaliknya.
Menurut satu catatan yang memetik Imam al-Suyuti dalam al-Minhaj al-Sawi, selepas Imam an-Nawawi dikebumikan, keluarganya dikatakan pernah bercadang untuk membina sebuah kubah di atas makam beliau.
Diriwayatkan bahawa Imam an-Nawawi kemudian muncul dalam mimpi ibu saudaranya dan meminta agar keluarganya tidak meneruskan pembinaan tersebut. Dikatakan juga setiap kali binaan cuba didirikan di atas makamnya, ia runtuh. Akhirnya keluarganya tidak membina kubah, sebaliknya hanya meletakkan batu sebagai sempadan di sekeliling makam.
Wallahu a‘lam tentang perincian kisah tersebut.
Hari ini pula, sebuah pohon besar tumbuh menaungi makamnya. Ada cerita yang menyebut pohon itu terus membesar sehingga binaan di atas makam dibiarkan terbuka.
Melihatnya sendiri di hadapan mata membuatkan saya terfikir…
Makamnya begitu sederhana. Terbuka ke langit, dinaungi sebatang pohon. Tetapi ilmu yang ditinggalkannya terus menaungi umat sehingga hari ini.
Imam an-Nawawi tidak dikurniakan umur yang panjang. Sekitar 45 tahun sahaja. Tetapi dalam usia sesingkat itu, lahir karya-karya seperti Riyadhus Salihin dan al-Arba’in an-Nawawiyyah yang terus dibaca dan dipelajari ratusan tahun selepas pemergiannya.
Terasa kecil diri ini bila memikirkan, apa agaknya yang kita akan tinggalkan selepas kita tiada nanti?
Dalam perjalanan misi ke Syria ini, ada banyak perkara yang kami rancang. Ada tempat yang memang sudah ada dalam itinerary dan ada amanah yang perlu diselesaikan.
Tapi kadang-kadang, di tengah perjalanan, Allah temukan kami dengan sesuatu yang langsung tidak ada dalam perancangan awal tetapi cukup memberi kesan kepada hati.
Nawa adalah salah satunya.
Saya datang ke Syria membawa amanah sebuah misi kemanusiaan. Tetapi dalam perjalanan ini, Allah beri juga peluang untuk singgah, melihat dan belajar daripada mereka yang telah lebih dahulu menghabiskan kehidupan untuk memberi manfaat kepada umat.
Mereka sudah lama pergi.
Tetapi ilmu dan kebaikan yang mereka tinggalkan masih hidup.
Alhamdulillah atas satu lagi peluang yang tidak pernah saya sangka.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Pengerusi Syria Care,
1 Februari 2025
: Maybank – 5505 1424 0118
: www.syriacare.org.my/AmalAid
, .
, .
#iamahumanitarianworker #ommashares #mylifeisanopensecret #travelogmisi #travelogmisikemanusiaansyriacare


