Skuad Ihsanku dengan kerjasama Masjid Bandar Seri Putra (BSP) Kajang, I-Reach, MediCOM, Syria Care dan Kelab Landrover, kumpul 10 tan barangan untuk mangsa banjir

Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Skuad Ihsanku dari Pertubuhan Ihsan Madani (IM) berjaya mengumpul 10 tan barangan keperluan bagi membantu mangsa banjir di kawasan perkampungan hulu yang terputus hubungan di Pantai Timur.

Misi Bantuan Banjir oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang dilancarkan awal bulan ini dijayakan dengan kerjasama Masjid Bandar Seri Putra (BSP) Kajang, I-Reach, MediCOM, Syria Care dan Kelab Landrover.

Antara barangan dikumpul termasuk air mineral, lampin bayi, susu bayi, kit kebersihan, pek makanan siap masak, toto tilam dan pelbagai keperluan lain yang menggunakan lori dengan kapasiti 10 tan metrik untuk membawa barang-barang bantuan tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IM, Muhammad Zulfadhli Mohamad Zain, inisiatif itu manifestasi daripada tanggungjawab sosial dalam melahirkan sifat ihsan serta membantu masyarakat yang memerlukan.

 

Kata beliau, pihaknya tersentuh melihat musibah banjir yang melanda beberapa negeri terutama di Pantai Timur yang menyebabkan kehilangan harta benda dan tempat tinggal akibat bencana ini

“Lokasi-lokasi terpilih di Pantai Timur menjadi sasaran misi ini dengan bantuan daripada I-Reach yang menyertai sebagai sukarelawan lapangan di mana salah satu lokasi yang menerima bantuan adalah Kampung Dusun Bunut, Kuala Krai di mana penduduk terpaksa berjalan kaki hampir satu jam untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Sesetengah penduduk juga terpaksa menggantung makanan dengan tali akibat jalan yang terputus disebabkan tanah runtuh dan penduduk kampung ini masih belum menerima bantuan makanan sejak bencana banjir berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Zulfadhli menambah, misi itu juga menghantar bantuan sebanyak 700 pek makanan telah diagihkan kepada penduduk di tiga daerah di Kelantan iaitu Machang, Tumpat, dan Kuala Krai yang memberi manfaat kepada 700 keluarga yang terkesan dengan banjir.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mengembeling sifat ihsan sama ada dari segi kewangan, barangan atau tenaga sukarelawan.

“Ini kerana bantuan ini hanya dapat dijayakan melalui sokongan padu semua pihak dan Skuad Ihsanku turut menghargai kerjasama daripada semua rakan NGO dan masyarakat yang turut serta dalam misi ini.

“Inisiatif ini mencerminkan semangat perpaduan dan kemanusiaan yang tinggi dalam membantu saudara-saudara kita yang memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

Kongsi Artikel Ini