Secara luaran Ahmad nampak sama seperti rakyat Lubnan. Dari segi penerampilan dan lengok pertuturan tiada apa yang membezakan, cuma satu yang tidak sama, dia berasal dari Syria dan menjadi pelarian di negara itu.
Meskipun menerima upah yang rendah, dia bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai pelayan. Namun Ahmad sentiasa dihantui kebimbangan kerana tidak berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Dalam erti kata mudah, dia dikategori pendatang haram yang sentiasa diburu pihak berkuasa negara itu.
“Jika mereka tangkap, saya akan dipenjara,” katanya kepada Al Jazeera.
Jelasnya, bagi melepaskan diri, ketika operasi dibuat, dia terpaksa menyamar sebagai pelanggan untuk menggelirukan pihak berkuasa.
Ahmad bernasib baik kerana majikannya sanggup mengambil risiko kerana jika didapati bersubahat mengupah pendatang haram, pemilik tempat dia mencari makan juga boleh dikenakan denda berat.
Kisah yang sama turut dikongsi Majid yang bekerja di sebuah restoran di Gemmayzeh, Beirut.
Katanya, ramai mereka yang senasib dengannya telah dibuang kerja apabila berita operasi besar-besaran pihak berkuasa membenteras tenaga buruh dan pendatang haram tersebar luas.
Seorang lagi pelarian yang dikenali sebagai Asir yang sebelum ini bekerja sebagai juruelektrik di sebuah syarikat mendakwa kehilangan sumber pendapatan telah diberikan cuti tanpa gaji oleh majikannya.
Ahmad, Majid dan Asir antara pelarian Syria yang bekerja secara haram atau tidak memiliki “residence permit” permit tinggal sah di negara itu.
Mereka ketakutan dan kini terpaksa bersembunyi di malam hari kerana khuatir ditangkap pihak berkuasa dan kemudian dihantar pulang ke negara asal.
Jika ia terjadi bermakna mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai risiko termasuk dipaksa menjadi tentera atau kehilangan nyawa kerana disiksa regim Bashar al Assad.
Mohamad yang tinggal di selatan Lubnan mengakui perkara itu berlaku kepada adiknya yang datang ke negara berkenaan pada 2014.
Ramadan lalu ketika keluar untuk membeli manisan untuk berbuka puasa, Raed telah ditahan pihak berkuasa.
Meskipun berdaftar di bawah UNHCR, dia telah dihantar pulang.
“Mereka dihantar pulang dan menyerahkannya kepada kerajaan Syria.
“Kerajaan Syria membawanya ke Daraa dan memberinya 15 hari untuk menyertai tentera. Mereka mungkin akan menghantarnya ke Idlib, tentu saja, dia tidak mahu pergi. ” katanya.
Khuatir menerima nasib yang sama, Raed cuba kembali ke Syria dan memasuki Idlib bagi menyelamatkan diri dari ditangkap pihak berkuasa.
Namun, ia bukan mudah kerana Idlib kini diserang tanpa henti oleh tentera regim.
Menurut agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency (NNA) sehingga Mei 2019, lebih 301 pelarian Syria telah diusir keluar ke negara asal mereka.
Pada masa kini terdapat lebih 1.5 juta pelarian Syria berlindung di Lubnan. Dari jumlah itu, 80 peratus daripada mereka tidak mempunyai permit tinggal.
Bagi mereka yang melarikan diri dari konflik di tanah air sendiri, ia hampir mustahil untuk mereka membayar USD200 setahun dan untuk mendapat permit kerja pula ia menelan kos antara USD750 hingga USD1,200 setahun.
Dalam keadaan hidup yang daif jumlah itu di luar kemampuan mereka.
Permintaan tenaga buruh terhadap pelarian Syria tinggi kerana upah yang rendah. Itu belum kira mereka yang dieksploitasi sehingga tidak dibayar gaji!.
Artikel ini telah diolah dari laporan asal yang disiarkan aljazeera.com . /Foto Syria Care.
Razali Awang
Media Syria Care