KENYATAAN MEDIA
Syria Care Menyambut Baik Penamatan Sekatan Amerika Syarikat Terhadap Syria 2 Julai 2025 | Shah Alam, Malaysia
Syria Care menyambut baik pengumuman rasmi oleh Presiden Donald Trump pada 30 Jun 2025 yang menandatangani arahan eksekutif bagi menamatkan sekatan ekonomi Amerika Syarikat terhadap Syria. Langkah bersejarah ini membuka peluang besar untuk Syria bangkit semula membina negara selepas lebih satu dekad berdepan peperangan dan pengasingan antarabangsa.
Menurut kenyataan dari Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, seramai 518 individu dan entiti dari Syria telah dikeluarkan daripada senarai sekatan. Ini menandakan satu titik tolak penting dalam usaha membolehkan rakyat Syria Kembali menyertai sistem kewangan global dan memperkukuh pemulihan ekonomi dan sosial mereka.
Syria Care mengalu-alukan komitmen Washington dalam mengekalkan tekanan terhadap individu dan kumpulan yang terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia, pengedaran dadah, penggunaan senjata kimia, dan aktiviti keganasan. Kami menegaskan bahawa sebarang usaha pemulihan mesti berpaksikan keadilan, keamanan, dan pematuhan terhadap hak asasi manusia.
Penamatan sekatan ini membuka ruang baharu buat NGO antarabangsa dan tempatan seperti Syria Care untuk memperluaskan bantuan kemanusiaan, mempercepatkan pemulihan infrastruktur, dan memulihkan kehidupan rakyat Syria secara lebih menyeluruh tanpa kekangan kewangan dan logistik yang sebelum ini membataskan usaha kami.
Kami menyeru komuniti antarabangsa, para penderma, dan rakan strategik untuk bersama-sama merebut peluang ini dengan menyokong usaha pemulihan Syria secara kolektif. Syria Care kekal komited untuk terus menjadi jambatan antara rakyat Malaysia dan rakyat Syria dalam menyalurkan bantuan yang berfokus, bermaruah dan berterusan.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care,
Shah Alam, Selangor.