KENYATAAN MEDIA
SYRIA MENUJU MASA DEPAN LEBIH STABIL DENGAN GABUNGAN SDF & KERAJAAN BARU
11 Mac 2025 – Syria Care mengucapkan tahniah atas gabungan Syrian Democratic Forces (SDF) yang diketuai oleh Mazloum Abdi ke dalam kerajaan baru Syria yang dipimpin oleh Presiden Ahmad Al-Syaraa. Langkah ini merupakan perkembangan penting dalam usaha memulihkan kestabilan negara selepas lebih sedekad konflik yang menghancurkan infrastruktur, ekonomi, dan kehidupan berjuta-juta rakyat Syria.
Gabungan SDF ke dalam kerajaan baru menandakan satu komitmen untuk membentuk pentadbiran yang lebih inklusif dan adil, di mana semua pihak dapat menyumbang kepada proses pemulihan negara. Ini juga membuka peluang untuk penyelesaian politik yang lebih menyeluruh, memastikan suara semua pihak diwakili, serta memperbaiki situasi kemanusiaan rakyat Syria.
Kerajaan baru diharapkan dapat memberi tumpuan kepada:
- Menjamin keamanan dan keselamatan bagi rakyat yang masih terkesan akibat konflik.
- Mempermudah akses bantuan kemanusiaan bagi lebih 12 juta orang yang memerlukan.
- Menjaga hak asasi manusia, termasuk pelarian yang ingin kembali ke tanah air mereka dengan jaminan keselamatan.
- Memulihkan ekonomi dan sosial bagi membina semula kehidupan rakyat, termasuk melalui penciptaan peluang pekerjaan dan pemulihan sektor pendidikan.
- Mengukuhkan peranan NGO dan masyarakat antarabangsa dalam membantu proses pemulihan dan pembangunan semula Syria.
Syria Care baru-baru ini telah menghantar pasukan ke Syria untuk menilai keadaan semasa dan memahami keperluan masyarakat di lapangan. Kami telah bersama rakyat Syria di saat mereka melalui dugaan yang berat, dan kami terus bersama mereka pada waktu perubahan yang penting ini. Perubahan politik yang berlaku membawa harapan baharu kepada rakyat yang telah lama menderita akibat kekejaman rejim terdahulu yang menindas rakyatnya tanpa belas kasihan. Kami berharap semua pihak yang terlibat dalam pentadbiran baru ini dapat menjunjung komitmen terhadap keamanan dan keadilan bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk Syria.