Kami terpana melihat kesan pengeboman besar-besaran di kawasan perbukitan ini, runtuhan rumah dengan kerosakan teruk di sekeliling, memberi gambaran betapa dahsyatnya serangan yang berlaku. Namun, dalam keheningan yang menyelubungi kawasan itu, kami terlihat seorang lelaki tua membuka meja kecil untuk menjual sesuatu. Tanpa ragu, kami menghampirinya dan membeli beberapa cawan teh panas bersama biskut.
Di atas meja, saya terlihat sesuatu yang membuatkan saya tersenyum — beberapa paket Indomie. Rasa teruja menguasai diri. Saya tertanya-tanya, bagaimana dia boleh menyediakan Indomie di sini, di tengah-tengah kawasan yang hancur dan sepi ini? Banyak kali saya melihat orang menjual Indomie, tapi baru kali ini saya rasa teringin untuk mencubanya.
Saya memandang sekeliling — hanya runtuhan dan kesunyian yang tinggal. Tiada sesiapa di sini. Siapa yang akan membeli? Siapa yang datang ke tempat yang dulunya dilarang dimasuki ini?
Tapi lelaki itu tenang, dia membuka paket Indomie dan memasukkannya ke dalam cawan kertas lalu mengisi air panas dari termosnya.
“Oooo camtu je ke dia ‘masak’ Indomie. Cawan pun takde cover” saya mengambil cawan panas darinya sambil mengacau dengan sudu. Jadi jugak. Sejuk-sejuk dengan lapar sebab perjalanan yang jauh, secawan Indomie terasa sangat nikmatnya.
Namun saya kagum melihat semangat pakcik ini. Melihat dia berusaha untuk terus berniaga sebaik sahaja mendapat berita kerajaan Bashaar jatuh dan dia sekali lagi boleh kembali ke sini.
Di tengah-tengah kehancuran ini membuatkan saya sedar betapa teguhnya semangat dia dan rakyat Syria yang lain.
Ia membuatkan saya terfikir betapa mudahnya kita mengambil remeh apa yang kita miliki, dan betapa kuatnya semangat untuk terus berjuang walaupun dunia sekeliling seakan-akan runtuh.
Semoga dapat kita bersama mereka membina semula Syria.
Siti Sakinah Meor Omar Baki,
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 18.0,
Syria, 5 Februari 2025.
: Maybank – 5505 1424 0118
: www.syriacare.org.my/AmalAid
‘ – , , & ü’: –
: www.syriacare.org.my/Ramadan
, .
, .