Hanya jumpa dalam mimpi

Whatsapp Image 2019 07 22 At 2.14.15 Pm

Apabila bapa Hoda yang lanjut usia kena serangan stroke hujung minggu lepas, hanya sedikit yang dapat dilakukannya.

Jarak beratus kilometer memisahkannya untuk menunai tanggungjawab sebagai anak. Bukan tidak ingin pulang, tetapi dalam keadaan konflik yang berterusan, ia mustahil dilakukan.

Kebimbangan orang yang disayang tidak mendapat rawatan sewajarnya di kawasan pedalaman pinggir Daraa, benar-benar merungsingkan Hoda.

Apakan tidak, hanya tinggal beberapa doktor di situ dan kemudahan perubatan yang ada amat terhad.

Selepas seminggu, keadaan bapanya bertambah baik namun Hoda dan anggota keluarga yang lain tidak banyak berubah, mereka terus terpisah. Dia kini berlindung jauh di utara, di kawasan yang dikuasai penentang, Idlib.

Katanya, selepas setahun melarikan diri, kerinduan terhadap si bapa tidak pernah pudar. Hanya telefon menjadi penyambung untuk melepas rindu, meluah rasa kasih dan sayang.

“Menziarahinya dari kejauhan, di alam mimpi.

“Saya tidak boleh balik,” katanya seperti yang ditulis Madeline Edwards di portal Middle East Eye.

Bercerita mengenai apa yang berlaku, Hoda berkata, bukan pilihannya untuk berada jauh dari keluarga. Seperti ribuan penduduk Daraa yang lain, wanita berusia 43 tahun ini tekad melarikan diri dari satu tempat ke satu tempat selepas Daraa jatuh ke tangan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya.

Dia bersama abang dan keluarganya terpaksa menyelinap di kawasan Bukit Golan yang bersempadan dengan Israel untuk melarikan diri demi menyelamatkan nyawa dari menjadi mangsa regim.

Si bapa yang berusia 80 tahun, terpaksa ditinggalkan dengan seorang lagi saudara perempuan. Keputusan itu dibuat kerana keadaannya yang uzur.

Hoda terpaksa lakukan ini semua kerana tidak ingin peristiwa hitam yang pernah dilaluinya sebelum ini berulang.

Bercerita mengenai kisah lalu, dia berkata di zaman awal kebangkitan rakyat, dirinya telah ditangkap serta dipenjara selama enam bulan kerana dituduh membekalkan keperluan logistik kepada kumpulan penentang.

Khuatir kezaliman yang sama berulang, apabila regim menyediakan bas untuk sesiapa yang sukarela keluar dari Daraa menujuk ke Idlib, Hoda bersama saudara lelakinya segera mengambil peluang itu.

Seperti Hoda, ramai lagi yang berlindung di Idlib, masih berhubungan dengan saudara mara yang ditinggalkan.

Namun ia bukan mudah kerana silap hari bulan, mereka yang dihubungi boleh hilang tanpa dikesan.

Pengalaman itu dikongsi Ahmad al Hiraki yang juga berasal dari Daraa.

Dia yang kini berlindung di Ariha berhampiran Idlib, mengakui, segalanya perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana khuatir dengan keselamatan kakaknya.

Apatah lagi dia kini bekerja dengan White Helmets.

“Kami bercakap menggunakan WhatsApp tetapi tanpa menghantar mesej suara-hanya menaip mesej.

“Mesej suara dirakam regim,” katanya.

Kebimbangan itu dikuatkan lagi dengan berita serbuan dibuat di malam hari dan mereka yang ditangkap kemudian dibunuh.

Kisah Hoda dan Ahmad ini telah dipetik dan diolah dari portal www.middleeasteye.net. Gambar hiasan/ Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini