Zainab.
Anak kecil dari Jarablus, utara pinggiran Aleppo yang sempat saya dan team jumpa sewaktu berpeluang masuk ke Syria awal Ramadan lalu. Dia telah kehilangan kakinya akibat peperangan yang berlaku ketika dia dan keluarga berada di Homs satu ketika dulu. Sekarang Zainab terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Sewaktu saya mendekatinya membawa nasi yang dimasak di dapur kami di sana,Zainab menangis. Kami tertanya-tanya kenapa dia menangis? Rupanya Zainab ketakutan apabila mendengar bunyi bas kecil yang membawa kami menghampiri rumahnya.
Dan kelibat kami yang belum pernah dia temui sebelum ini juga menakutkannya.
Begitulah keadaan ramai anak-anak Syria. Kesan peperangan jauh dari apa yang dapat kita bayangkan. Andai peperangan tamat sekalipun,masih terlalu banyak keperluan mereka yang harus sama-sama kita santuni.
Kerja-kerja kemanusiaan yang kita lakukan walaupun sekadar memberi makanan sangat bermakna buat mereka. Namun keperluan mereka tidak terhenti setakat itu sahaja. Sama-samalah kita tanamkan tekad untuk terus membantu dan memberi sokongan.
Sesungguhnya apa yang kita lakukan buat mereka di dunia ini adalah saham Syurga untuk kita di Akhirat nanti.
Siti Sakinah Meor Omar Baki
CEO/Pengerusi Syria Care