“Saya juga pelarian. Tolonglah. Saya perlukan bantuan. Saya ada anak. Kami harus terus bertahan..” Kedengaran suara tersekat-sekat seorang pelarian wanita yang namanya tidak tercatat dalam senarai penerima bantuan.
Itulah gambaran situasi dan nasib pelarian Syria di Lubnan. Tidak mudah menjadi pelarian di bumi orang. Ujian dan cabaran datang bertimpa.
Telah dua hari saya berada di sini. Saya lihat sendiri keadaan dan kepayahan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan kehidupan mereka di sini. Penduduk tempatan juga seakan-akan mendiskriminasi pelarian-pelarian ini.
Ketiadaan dokumen atau dokumen yang tidak lengkap, menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan. Tetapi hakikatnya mereka perlu lakukan sesuatu untuk terus hidup.
Saya belum tentu dapat bertahan dalam keadaan begini. Namun saya bersyukur kerana dipilih untuk menjadi perantara bagi menyampaikan bantuan kepada mereka.
Saya dan para petugas Syria Care akan terus berusaha untuk meraih sebanyak mungkin dana dan bantuan buat mereka ini.
Kalian tidak melihat dan menyaksikan sendiri, barangkali kalian tidak dapat merasakan peritnya hidup mereka dan peritnya perasaan saya ini. Kalau boleh, saya juga ingin menangis!
Saya dan team akan pulang ke tanahair tak lama lagi. Kuatlah wahai saudaraku. Bertahanlah selagi terdaya. Kami akan terus membantu selagi termampu.
Fayyadh
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care
Ba’albek, Lubnan
#MisiKemanusiaanSyriaCare9