USD27 sebulan dah dikira beruntung

1
Pelarian Syria di Arsal, Lubnan tidak mampu membuat sebarang persiapan bagi berdepan dengan sebarang bencana alam. Keadaan yang serba kekurangan menyebabkan mereka mustahil untuk melakukan perkara itu.
 
Memiliki khemah, pakaian dan makanan sudah dianggap satu kesempurnaan walaupun ia berada dalam keadaan amat dhaif.
 
Bagi mereka di sini, memiliki tempat berlindung yang dipasang dengan penebat bagi berdepan dengan cuaca sejuk melampau dianggap perkara yang cukup mewah. Itu belum dikira dengan bekalan makanan dan pakaian. Adakala mereka terpaksa mengikat perut dan mencatu makanan untuk mengelak kebuluran.
 
Ketika bersama petugas Syria Care mengagihkan bantuan yang disumbangkan rakyat Malaysia di beberapa kem pelarian di Arsal seperti di Ra’is Sin dan At Taqwa, penderitaan terpampang di mana-mana. Berbeza dengan pengalaman lalu berada di khemah pelarian di dalam Syria sebelum ini, mereka kelihatan lebih ramah.
 
Wajah-wajah ceria ada di mana-mana dan ketibaan kami seolah-olah selebriti. Ada sahaja yang ingin bergambar. Namun di sebalik keceriaan yang dipamer, setiap seorang dari mereka ada cerita dan kisah lara.
 
Ada yang bernasib baik mempunyai suami dan anak-anak sebagai tempat bergantung, namun tidak kurang juga bergelar ibu tunggal dan anak-anak yatim.
Bagi mereka yang mempunyai kudrat untuk bekerja, peluang untuk mencari rezeki belum tentu ada, segalanya bergantung kepada nasib. Tiada pekerjaan tetap untuk mereka wa ima sebagai buruh kasar.
 
Sesetengah mereka dianggap “beruntung” kerana menerima bantuan bulanan USD27 sebulan dari Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), namun jumlah itu amat kecil dan jauh dari mencukupi.
 
“Saya tinggal di sini bersama suami dan tiga orang anak. Saya berada di sini sudah lima tahun, kami makan dengan apa yang orang di sini makan. Saya ada mendapat kad dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi tidak banyak, suami ada bekerja tetapi bukan kerja tetap.”Luah Hasanah Haidir.
 
Ceritanya lagi, dia kini hilang sumber pendapatan kerana suaminya mencari pendapatan sebagai pembuat blok bata, kini menganggur di musim sejuk.
 
Rata-rata khemah pelarian di Arsal berada di kawasan tinggi dan cerun. Kem Ra’is Sin misalnya berada pada ketinggian 1,900 meter dari paras laut. Bayangkan pada ketinggian itu, tahap kesejukkan dan angin kencang yang terpaksa mereka hadapi. Suhu di bawah paras beku dan salji tebal menjadi perkara lumrah di sini.
 
“Saya tinggal di kawasan bukit, sangat sukar naik turun dan saya juga tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk membeli diesel, pakaian dan sebagainya,” kata ibu muda Sabah Al Jibara.
 
Hasanah dan Sabah adalah sekelumit kisah yang dilalui lebih sejuta pelarian Syria di Lubnan. Itu belum cerita anak yatim dan ibu tunggal.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini