Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengugut untuk memotong bantuan ke atas mana-mana negara yang menyokong deraf resolusi mengutuk keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Katanya, White House akan memerhati undi yang akan dibuat 193 negara anggota pada sesi tergempar Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-PBB yang dijadual berlangsung pada Khamis.
“Mereka mengambil ratusan dollar bahkan bilion dollar dan kemudian mengundi menentang kita. Baiklah kami akan tengok undi ini. Biarkan mereka undi menentang kita. Kita akan dapat jimat banyak. Kami tidak peduli,” kata Trump sebagaimana dipetik agensi berita Reuters.
Kenyataan itu menyusul selepas Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley menghantar surat ugutan kepada negara anggota jika mereka bertindak menyokong deraf resolusi pada sidang tergempar kali ini.
Dia juga menulis di laman Twitter bahawa pihaknya akan mengambil nama negara yang menentang keputusan yang dibuat Presiden Trump.
Keputusan White House untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis telah mencetuskan siri ketegangan terbaru Palestin dan Israel sehingga menimbulkan tunjuk perasaan besar-besaran di kebanyakan negara yang membantah keputusan berkenaan.