Peluang yang ada di Idlib cuba dimanfaat sebaik mungkin…

WhatsApp Image 2020-01-14 at 9.49.55 AM

Peluang yang ada di Idlib cuba dimanfaat sebaik mungkin untuk menziarahi satu persatu projek yang disumbangkan rakyat Malaysia melalui Syria Care. Ia penting kepada kami untuk membuat penilaian dengan melihat sendiri lokasi, pengurusan dan paling mustahak mengenali para petugas tempatan.

Dari Madrasah Abi Hanifah an Nu’man yang terletak di kawasan pergunungan, kami merentasi Khirbat al Jauz menuju ke markaz atau pusat yang menempatkan anak-anak yatim di Jisr al Shughour yang terletak di lembah.

Sepanjang perjalanan ke sana, kesan-kesan serangan ada di mana-mana dan dalam keadaan yang asyik, di sudut hati perasaan begitu kelam dan kesunyian yang melampau meliputi sekitar kawasan tersebut.

Namun saya haya mampu berdiam diri.

Masih saya ingat, dari jauh kami nampak bangunan usang di tepi Sungai A’asi.

Fizikalnya, ia nampak jelas dengan kerosakan di dinding dan tingkapnya pecah, namun itulah yang menjadi tempat anak-anak yatim berlindung.

Ketika tiba di perkarangan, kami disambut dengan riak – riak wajah yang sugul.

Segala tanda tanya terjawab selepas kami memasuki utama di tengah-tengah bangunan lalu mata terpandang ke arah keranda.

“Oh rupanya ada kematian dan jenazah sedang diuruskan”, kata saya kepada anggota misi yang lain.

Kami ke tingkat atas untuk melawat anak – anak yatim dan disambut gembira oleh mereka.

Namun begitu, jelas terpancar keperitan di sebalik wajah – wajah riang insan tak berdosa ini.

Dari dalam bangunan kami dapat lihat suasana kelam di sekitar Jisr al Shughour. Kelihatan sebuah bangunan bersebelahan yang telah hancur dibom, dan kelihatan juga sebuah kawasan kubur yang terbiar, munyugulkan lagi suasana.

Beransur pulang, baru saya diberitahu bahawa Jisr al Shughour itu adalah kawasan panas dan terletak hanya beberapa kilometer dari kawasan rejim Bashar berada.

Ia bermakna, kawasan itu terlalu berisiko untuk dilawati. Kini baru saya faham kenapa kawasan itu begitu sunyi. 90% dari penduduk telahpun lari berpindah keluar kerana bimbang diserang.

Lewat petang kami bergerak pulang ke Atma. Saya bersyukur kerana kami dilindungiNya sepanjang berada situ.

Muaz B. Abd. Muein
Petugas Syria Care
Misi Kemanusiaan 11.0
25/11/2019

Kongsi Artikel Ini