Travelog MKSC 9.0: Syria di depan mata

5

Misi kemanusiaan yang saya sertai tidak sempurna jika tidak menjejak kaki ke dalam Syria.

Detik bermakna berulang lagi pada 4 Mei 2019. Alhamdulillah, impian itu dimakbulNya.

Perasaan bercampur baur sejak mula sampai di sempadan Turki-Syria. Berdebar, gementar, takut dan risau bermain di kepala. Tetapi 
bila difikirkan tentang nasib saudara kita di sana, tanggungjawab yang diamanah rakyat Malaysia mesti ditunaikan.

Saya gagahkan diri, tenangkan hati, dan selebihnya berserah kepada Ilahi.

Alhamdulillah, berkat doa rakyat Malaysia, kaum keluarga… selepas sejam di sempadan Turki, akhirnya kami diberi keizinan untuk memasuki bumi Syam. 

Dalam perjalanan kami menyaksikan dengan mata kami sendiri bagaimana keadaan bangunan dan rumah yang telah musnah dibom. Rakyat hilang tempat tinggal, jadi pelarian, mencari tempat yang selamat untuk didirikan khemah.

Termenung seketika mengenang hidup kita di Malaysia yang sangat jauh jika dibandingkan dengan mereka. Pernahkah kita bersyukur dengan apa yang kita ada? 
Berapa kerapkah kita merungut dengan apa yang kita tiada? 
Masih adakah tempat tinggal yang selesa untuk kita? 
Masih cukupkah bekalan di rumah kita? Sama-sama kita renungkan.

Sejujurnya saya tidak pandai untuk mengarang cerita, tetapi demi menyumbang sesuatu buat rakyat Syria, saya mencuba berkongsi pengalaman pada Misi Kemanusiaan Syria Care 9.0.

Cukup setakat ini dulu. Ia coretan untuk permulaan. Insya Allah saya akan berkongsi pengalaman lagi dalam travelog akan datang. 

Jangan lupa ikuti kisah-kisah petugas misi kali ini ya…

Muaz
4 Mei 2019
Petugas Misi Kemanusiaan Syriacare 9.0
Aleppo, Syria

Kongsi Artikel Ini