Travelog MKSC 9.0: Mereka masih perlukan kita

14

Gambar selfie ketika dalam train sewaktu baru sampai dari Beirut bersama orang femes Mior Abd. Malek Raiyani 😁. Kami berdua tersengih gembira teruja walaupun kepenatan jelas di mata kerana bakal bertemu keluarga tercinta. Malah dapat menjejakkan kaki di bumi Malaysia sahaja cukup membahagiakan. Walaupun baru dua minggu di perantauan tetapi rindu pada mereka yang tersayang amat menyesakkan dada.

Namun dalam keterujaan itu saya terfikirkan saudara-saudara kita di Syria dan juga yang telah berhijrah ke negara lain. 
Ada di kalangan mereka yang terpisah dengan kaum keluarga bukan setakat dua minggu. Malah bertahun-tahun lamanya. Ada yang terpisah hidup. Ada yang terpisah mati. Yang lebih menyedihkan ada yang terpisah tanpa mereka tahu samada insan tersayang hidup,sakit atau telah tiada.

Ada di kalangan mereka yang tidak dapat masuk semula ke Syria di atas berbagai kekangan keadaan. Sedih bila mereka nak pulang ke negara sendiri kena minta izin dengan pihak lain yang berkuasa dan lebih menyedihkan bila izin tidak diperolehi.

Ada di kalangan mereka nampak bumi tanahair mereka dari kejauhan namun nak pijak di buminya adalah sesuatu yang mustahil.

Ada yang jadi pelarian namun di tanahair sendiri. Lari menyelamatkan diri sehelai sepinggang asal sahaja tidak mati tanpa nesan.

Ada yang pernah miliki kekayaan. Rumah,tanah,kereta semua mereka ada. Namun dalam sekelip mata semuanya bagai dirampas dari mereka. Hilang… Hasbunallahu wa ni’mal wakeel.

Yang saya kongsi ini hanyalah sedikit sahaja dari keperitan yang mereka lalui. 
Tak mampu nak kongsi semuanya.

Kalau kita berpisah dengan ahli keluarga terasa susah dan berat,bagaimana jika kita di tempat mereka?

Renung-renungkan dan cuba ringankan bebanan mereka. Walaupun kita tak dapat hilangkan semuanya yang penting kita lakukan sesuatu.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 9.0
KLIA
15/5/2019

#travelogmisi
#syriacarehumanitarianmission9

Kongsi Artikel Ini