Travelog MKSC 9.0: Anak Syria Makan Sampah?

6

Sedang kami menziarahi sebuah kem (Kem An-Nur) yg terletak di ‘Azaz, Syria. Aku terlihat jauh di satu sudut kem tiga orang kanak-kanak kecil ini leka bermain antara mereka. Aku tergerak untuk menghampiri mereka bagi dapatkan beberapa footage gambar dan video. Tindakan aku berjarak dengan rakan petugas misi serta pegawai pengiring adalah sangat berisiko kerana apa sahaja boleh berlaku di kawasan ini. Namun aku tidak tahu apa yang memberanikan diri aku untuk keluar secara senyap hanya sekadar untuk dapatkan footage kanak-kanak ini bermain.

Beberapa usaha aku lakukan untuk bergaul mesra dengan kanak-kanak ini. Dalam cubaan aku bermesra dengan mereka seorang dari kanak-kanak ini mencubit sisa makanan terbuang yang berada tidak jauh darinya lalu terus menyuap ke dalam mulut. Aku tergamam dan tertanya-tanya apakah benda yang disuapkan ke dalam mulutnya.


Adakah ianya memang makanan untuk dimakan?
Adakah mereka masih mempunyai ibu bapa?
Cukupkah makanan yang diperoleh sehari-hari?

Jeritan nama aku terdengar dari kejauhan sambil tangan dilambai-lambai oleh rakan petugas lain tanda aku perlu bersegera pulang ke pangkuan pasukan. Segala persoalan tadi hilang seketika apabila rakan petugas yang lain kelihatan bergegas menaiki kenderaan yang disediakan.

Aku kongsikan perkara ini bersama petugas yang lain namun kekangan masa yang kami lalui membatasi pergerakan kami untuk mendapatkan semula kanak-kanak tersebut.

Sehingga kini wajah dan tindak-tanduk kanak-kanak itu masih jelas dalam ingatan aku.
Jom bantu mereka. 

Ammar
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 9.0
Azaz,Syria
7 Mei 2019

#travelogmisi
#misikemanusiaansyriacare9

Kongsi Artikel Ini