Hari keenam ( 4 Disember 2018)
Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Masih ingatkah dengan Sham? Si cilik dari Selatan Damsyik yang dulu Syria Care rakamkan klip dia berbahasa Melayu.
Alhamdulillah, pada masa misi semalam ketika kami mengagihkan bantuan, dia dan keluarganya datang ke Turkman Bareh. Mereka ekarang menetap di Al-Bab setelah terpaksa berhijrah Mei lalu.
Sebaik sampai di turkman bareh kami dibawa naik ke bilik di tingkat atas masjid.Sedang kami duduk-duduk saya terlihat kelibat Sham memasuki bili itu.
Dia berjalan ke arah saya sambil tersenyum simpul.
Bagaikan berjumpa dengan darah daging sendiri, kami bersalaman dan saya peluk, cium dan dakap Sham melepaskan rindu.
“Sham apa khabar? Sihat tak?Bagaimana pelajaran Sham sekarang?”
Sham yang telah menginjak usia 6 tahun tetap sama seperti pertama kali dia muncul dalam video beberapa tahun lalu. Dan di sini pihak kami membiayai kos pendidikannya.Alhamdulillah Sham anak yang pintar.Malah selepas keputusan keluar baru-baru ini pihak Ulfah Humanitarian Relief telah menghantar kepada saya keputusan peperiksaannyanya yang sangat memberangsankan.
“Syam di sini ada crochet (topi kait) dari Malaysia, pilihlah,” kata saya sambil menunjukkan kepadanya beberapa pilihan.
Tanpa berlengah, dia memilih crochet, untuk diri sendiri dan adiknya.
“Saya nak dua boleh?” Sham bertanya.Saya berkata “Tentu sekali” sambil tersenyum ke arahnya yang kelihatan begitu teruja menerima hadiah yang kami bawa itu.
Semua topi-topi itu adalah sumbangan dari Crochet Knit Artiste Group.Kami cuma dapat bawa sebahagian kecik dalam misi ini.Selebihnya akan dibawa dan diagihkan dalam Kembara Jiwa dan Kemanusiaan Syria Care yang berlangsung pada 11-15 Disember 2018.
“Terima kasih kepada penyumbang kerana telah membuat kanak-kanak seperti Sham gembira. Semoga Allah sahaja yang dapat membalas budi baik ini,” kata-kata itu bermain di hati ketika melihat keletah Sham memilih crochet.
Kepada penyumbang crochet, Syam menyampaikan kata-kata ini.
Saya memakaikan Sham dengan topi merah pihannya.Dia tersenyum manis.Hati terasa berbunga gembira.
Pertemuan dengan Syam berlangsung selepas kami bersama Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) berada di Madrasah Syar’iah di situ.
Seperti dirancang, kami bergerak di awal pagi dari Kilis bersama tiga buah kenderaan.
Cuaca jangan ceritalah, memang terasa sejuk meskipun berlapis-lapis pakaian menutup badan.
“Bagaimana dengan pelarian?.
Pertanyaan itu bermain di kepala setiap kali diri rasa tercucuk-cucuk dengan kedinginan cuaca di Syria sekarang. Itu belum lagi di bawah paras beku.
Itu pakaian, belum lagi pasal makanan dan khemah. Hidup mereka memang menguji iman.
Ketika tiba ke destinasi, kelihatan susunan selimut dan pek pakaian yang disumbangkan rakyat Malaysia yang akan diagih kepada pelarian.
Langkah saya kaku seketika.
“Terima kasih kepada yang membantu, menyumbang dan melicinkan pengagihan bantuan ini. Insya Allah amanah ini akan kami tunaikan dan ia bukan berakhir di sini,” hati ini berkata-kata.
Sesungguhnya kita mungkin merasakan apa yang kita lakukan itu kecil tetapi ia sebenarnya sangat bernilai dan berharga untuk mereka.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Turkman Bareh,utara Aleppo Syria