Travelog MKSC 6.0 : Zaman kanak-kanak yang dirobek.

14

Zaman kanak-kanak yang dirobek.

Semasa hari kedua di Kilis, Turki, minggu lalu, saya dan team berkesempatan mengagihkan bantuan pek makanan kepada beberapa buah keluarga Syria disini. Salah satunya ialah seorang ibu tunggal berserta 4 anaknya yang comel, 2 lelaki dan 2 perempuan. 

Demi membantu ibu mereka menyara keluarga, dua daripada 4 beradik ini, Abdul Rahman berusia 14 tahun bekerja membaiki telefon di kedai telefon manakala adiknya Salman, 12 tahun bekerja sebagai tukang jahit. 

Mereka sekeluarga telah keluar dari Syria 2 tahun lalu dimana kedua anak lelaki ini telah pun mula bekerja pada masa itu. Masih kecil lagi sudah terpaksa bekerja, merasai perit jerih mencari rezeki seawal usia begini. Bayaran yang diterima entah setimpal atau tidak, entah cukup entah tidak. Lagi pula, mereka tiada peluang sama sekali untuk ke sekolah. 

Sungguh saya sangat sebak mendengar cerita mereka. Umur sebegini yang sepatutnya sedang berlumba-lumba ke sekolah dan mengejar tempat pertama di setiap peperiksaan, tidak bagi mereka ini yang terpaksa berkorban demi menyara keluarga, demi meneruskan kehidupan.

Teringat saya pada umur belasan tahun sebegini, saya sedang sibuk mempersiap diri untuk peperiksaan. Menelaah dan bermain bersama kawan. Menerima wang saku dari ayah sebelum ke sekolah, semestinya tiada terlintas langsung untuk bekerja pada masa itu. 

Allah Allah. Sungguh besar pengorbanan mereka. Ujian hari ini bagaikan menang ‘loteri’ buat mereka di kemudian hari. Pengorbanan mereka saat ini pasti Allah balas setimpalnya. 

Hari ini, kalau kita rasa kerja kita susah, asyik rasa susah nak cari wang atau pekerjaan, jangan sesekali merungut. Cuba lihat, ada orang lain yang lebih susah daripada kita, yang lebih banyak cabarannya untuk mencari rezeki malah pada usia seawal belasan tahun.

Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur.

Nurul
31 Mei 2018
Team Misi Kemanusiaan Syria Care 6.0
#SyriaCare#MisiKemanusiaan

Kongsi Artikel Ini