Travelog MKSC 6.0 : Rayyan yang istimewa

13

Rayyan ialah gadis kecil yang istimewa yang kami temui dalam perjalanan misi kami. Melihat senyumannya ketika menyambut kehadiran kami, terasa keikhlasannya.

Rayyan telah melalui satu fasa getir dalam hidupnya, meskipun usia masih terlalu muda. Sebelah kaki terputus meletup hancur entah di mana. Sebelah lagi sebahagiannya hancur,terpaksa dipotong bahagian itu lalu disambungkan hingga kakinya pendek dari sepatutnya. Perut yang tertembus shrapnel dari bom yang jatuh berhampiran dengan keretanya, ketika serangan berlaku. Rayyan perlu melalui berbagai pembedahan sebelum dia kembali ‘normal’. 

Alhamdulillah, kini dengan bantuan kaki palsu Rayyan sudah mampu berjalan walaupun keadaan masih tidak stabil sepenuhnya.

Saya melihat sendiri kedua kakinya. Allahu. Kaki palsu sebelah kiri ada skru dan besi bagi menampung tubuh kecil itu. Besi yg bertindak sebagai kaki palsu itu juga boleh tahan beratnya. 

Kaki kanan Rayyan, seperti tidak bermaya. Perlu alatan sokongan untuk menstabilkan pergerakannya.

Kami sebenarnya sangat sayu melihat dirinya, tetapi sengaja tidak kami tunjukkan dihadapannya. jika Rayyan dalam keadaan sebegitu masih cekal dan ceria, kami harus raikannya.

Kami bersyukur kerana dengan bantuan dan sumbangan dari rakyat Malaysia, Rayyan mampu berdikari dan memperbaiki keadaan dirinya.

Saya secara peribadi telah membawa pulang semangat kecekalan Rayyan untuk terus mengangkat usaha-usaha kemanusiaan. Kanak-kanak seperti Rayyan harus mendapat hak dan sokongan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Semoga engkau terus cekal mengharungi hari-hari mendatang, Rayyan.

Nurdieana Mohd Mardzi
20/5/2018
Reyhanli

Kongsi Artikel Ini