Travelog MKSC 6.0 : Pengalaman yang memanusiakan

6

Pengalaman misi kali ini mengajar saya untuk melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza.

Adakalanya kita berasa selesa dengan kehidupan kita sehingga kita terlupa bahawa tidak semua manusia sebertuah kita. Itu pun kadang-kadang sedikit ujian Allah kirim, kita sudah melenting dan mengeluh.

Hamba-hamba Allah di Syria ini pernah selesa seperti kita. Pernah menikmati kesenangan dan memiliki segalanya. Namun dalam sekelip mata, segalanya berubah dan bertukar menjadi mimpi ngeri.

Saya lihat sendiri kehidupan mereka di kem-kem pelarian. Mereka tersenyum. Mereka bahagia. Anak-anak bisa bermain dengan apa saja yang ada. Saya hampir pasrah melihat keadaan dalam sebuah khemah yang kami ziarahi. Tidak ada apa-apa melainkan wanita tua yang patah tulang belakang bahunya dan anak perempuannya yang manis pekertinya. Meraikan kehadiran kami sambil bertanya jika kami ada mengenali guru2 yang boleh mengajar AlQuran. Anak perempuan ini sudah berjuzuk2 ayat Quran yang dihafaznya… Melihat kami sambil tak henti mendoakan kami. Mendoakan semua. 

Saya hilang kata-kata. Dalam kepayahan, mereka mengangkat tinggi akidah dan keyakinan kepada Allah. Dalam kepayahan, mereka boleh dan mampu merasa bahagia. Kalimah kesyukuran tidak pernah lekang dari bibir.. Dalam serba kepayahan, jiwa mereka tidak kosong. Hati mereka tidak alpa. Justeru mereka mampu mengharung fasa kehidupan penuh konflik.

Tuhan memberi saya ruang melihat dan merasai kehidupan mereka dalam sedetik waktu. Iman saya masih belum kukuh. Saya ingin kuat seperti mereka. Saya ingin sabar seperti mereka. Saya ingin menjadi hamba yang redha. Inilah cabarannya…

Sungguh! Pengalaman ini telah memanusiakanku… 

Nurdieana Mohd Mardzi
16 Mei 2018
Syria

Kongsi Artikel Ini