Travelog MKSC 6.0 : EMAS YANG MENJAGA PERMATA

17

EMAS YANG MENJAGA PERMATA

“Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, namun 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu”. Ungkapan tersebut sering kali di dengari sebagai nasihat kepada anak-anak untuk berbakti kepada orang tua mereka. Namun berbeza pula ceritanya yang berlaku ke atas seorang serikandi keluarga iaitu Mak Cik Fatmah. Insan yang cekal dan tabah di atas seribu ujian. Usia yang kian uzur tidak menjadi alasan untuk beliau terus istiqamah menjadi ibu yang mithali.

Diwaktu usia telah menjangkau usia emas wajar dirinya kini mendapat belaian jagaan daripada anak-anaknya. Tetapi takdir Allah penuh dengan seribu hikmah dan jalan mencari pahala itu di buka seluas-luasnya bagi insan yang dipilih. Mak cik Fatmah telah dikurniakan 6 orang cahaya mata sebagai amanah daripada Allah itu dijaga. Walaupun begitu sebagai insan yang beriman dirinya di uji apabila kesemua cahaya matanya membesar secara tidak normal dan kehilangan keupayaan untuk mengurus diri. Bukan 1 tapi kesemua 6 orang anaknya menghadapi penyakit yang sama.

Dapatkah kita bayangkan betapa besarnya ujian ini. Namun seperti kata-kata orang yang hebat “wahai masalah yang besar aku punyai Allah yang Maha Besar untuk menghadapi kau”. Daripada riak wajah warga emas ini jelas mempamerkan betapa dia redha dengan segala yang berlaku ini. Namun seperti insan biasa pasti akan menitis air matanya saat dirinya diziarahi kami. Bukan kerana malu pada keadaan diri dan keluarganya. Tapi titisan air mata yang jatuh adalah kerana hatinya tersentuh apabila ada insan yang jauh datang menziarahinya atas rasa kemanusiaan dan kasih sayang ukhwah Islamiyah.

Mak cik Fatmah dirinya benar-benar seorang ibu yang telah berkorban segalanya demi anak-anaknya yang bakal menjadi permata syurga. Sekali pun ujian datang bertalu-talu bermula dengan keadaan anak-anaknya, kemudian diuji lagi dengan kematian suami tercinta dan kini tanah airnya bergolak sehingga tercabut sebuah keamanan. Namun itu bukan penghalang untuk dirinya terus menjalankan amanah sebagai seorang ibu menjaga anak-anaknya sebaik mungkin. Baginya biarlah berpenatan dan kepayahan di dunia ini sebagai laluan mudahnya untuk mencapai kebahagian yang hakiki di akhirat. Kenangan diri ini menziarahi beliau akan sentiasa dikenang sebagai tarbiah diriku untuk mengambil iktibar betapa sukar sekalipun kita berbakti kepada ibu ayah kita namun ia tidak pernah sekali dapat membalas segala jasa bakti dan keikhlasan mereka menjaga kita. Di rumah beliau jugalah aku dan rakan-rakan Misi Kemanusiaan Syria Care 6.0 meneguk segelas air untuk berbuka pada 1 Ramadan 1439 Hijrah. Doaku semoga Emas dan 6 Permata ini akan diganjari syurga diatas kesabaran mereka dan kekal bersama merasai hari-hari bahagia di akhirat kelak. In shaa Allah.

Asyraf Rahman
Peserta Misi Kemanusiaan Syria Care 6.0

Salurkan sumbangan anda ke akaun bank Syria Care:

  1. CIMB Islamic:8601894560
  2. Maybank Islamic: 562106653575
    (Seperti yang tertera dalam poster)

Sebarang pertanyaan, sila hubungi 01128809820

syriacaremalaysia

misikemanusiaansyriacare6.0

inibukankerjamainmain

Kongsi Artikel Ini