Travelog MKSC 5.0 : Iman Misriy wanita kudung berjiwa besar.

4

Iman Misriy wanita kudung berjiwa besar.

Keberadaan kami di bumi Reyhanli menemukan kami dengan seorang wanita hebat. Sebelum bertemu dengannya kami telah pun dimaklumkan tentang seorang wanita yang telah terputus kakinya akan membawa kami menziarahi beberapa orang lain yang tercedera. Namun ketika dia menghampiri kereta kami, yang kelihatan hanyalah seorang wanita yang kelihatannya sama seperti wanita lain. Tidak nampak langsung seperti wanita yang telah kudung kakinya.

Beliau membawa kami menziarahi seorang wanita lain yang juga telah kehilangan kaki. Setelah selesai tugasan kami di rumah wanita tersebut kami pulang ke rumah penginapan kami memandangkan ketika itu solat Jumaat bakal didirikan. Sementara menunggu kaum lelaki pulang dari solat Jumaat, saya mengambil peluang untuk berkenalan dengannya.

Beliau bercerita kepada saya bagaimana dia kehilangan kakinya dalam satu kejadian yang berlaku empat tahun lalu. Ketika itu dia sedang berjalan pulang ke arah rumahnya di Damsyik. Dia tidak mendengar sebarang bunyi pada awalnya. Namun, tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran di hadapannya. Apabila sahaja dia sedar dia sudah tercampak jauh dari tempat dia berjalan pada awalnya tadi. Kaki kirinya dari bawah lutut sudah tiada. Dia menceritakan sehingga ke saat ini dia tidak tahu ke mana pergi kakinya itu…

Iman kini berada di Reyhaniah Hatay Turki bersama dua orang anak lelakinya. Beliau berkongsi bagaimana hidupnya berubah dalam sekelip mata akibat peristiwa itu. Dari seorang yang boleh berjalan ke sana-ke mari dia kini kurang upaya. Dari seorang orang yang boleh menguruskan dirinya sendiri, dia kini memerlukan bantuan orang lain untuk perkara yang paling kecil.
Lalu, Iman bertanya kepada dirinya sampai bila dia harus begini? Dia tidak suka orang melihatnya dengan pandangan kesian. Dia harus bangkit dan meneruskan kehidupannya sebaik mungkin. Dia tidak mahu lagi bersedih atas apa yang dia tidak miliki. Ini ketentuan Allah ke atasnya. Hidup perlu diteruskan. Dan sebagai insan kurang upaya dia faham apa yang perlu dilalui oleh mereka yang senasib dengannya.

Lalu Iman memulakan gerakan membantu. Dikumpulkan kaum wanita yang telah menjadi mangsa serangan tentera rejim. Yang telah kehilangan anggota tubuh badan mereka. Mahupun kaum isteri kepada suami-suami yang telah tercedera. Dia memberi kursus dalam pelbagai bidang agar mereka mampu berusaha untuk mencari kewangan sendiri kelak. Dia tidak berputus asa. Kekurangan yang ada padanya menjadi kelebihan untuknya membantu orang lain.

Pihak Syria Care berasa bangga kerana dapat berjumpa insan hebat seperti Iman yang meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan dirinya sendiri. Maka bagi pihak semua rakyat Malaysia yang menyumbang melalui Syria Care menghulurkan bantuan untuk Iman agar dia dapat terus melaksanakan misi kemanusiaannya pada anak bangsanya sendiri.

Begitulah jiwa menjadi hebat bila pergantungan kuat pada Allah.
Jiwa menjadi kental bila menerima ketentuan Allah.
Maka, apakah yang menghalang kita menjadi seperti Iman?

Catatatan perjalanan oleh:
Ustazah Sakinah Omar
Pengerusi Syria Care
27 Oktober 2017
Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0
Reyhaniah Hatay, Turki

Kongsi Artikel Ini