Travelog MKSC 5.0 : Amani balu muda di Sanliurfa.

5

Amani balu muda di Sanliurfa.

Pada hari kelima permusafiran kami di bumi Turki ini, kami meneruskan perjalanan ke sebuah bandar yang diberi nama Sanliurfa. Bandar ini seperti bandar-bandar lain yang berhampiran sempadan Turki Syria mempunyai penduduk dalam kalangan rakyat Syria samada yang masuk ke bumi Turki secara haram mahupun secara jalan yang sah.

Kami dibawa menziarahi beberapa rumah antaranya rumah yang didiami Amani dan dua orang anaknya beserta ayah, ibu dan tujuh orang adik-beradiknya yang lain. Kami membawa bantuan kewangan juga bahan makanan untuk keluarga besar ini.

Sebelum itu kami berbual dengan Amani dan keluarganya. Kisah Amani amat menyayat hati kami.

Amani menceritakan bagaimana pada suatu hari dia, suami, ayahnya dan dua orang anak perempuannya telah keluar membeli-belah. Sedang mereka menghampiri rumah mereka tiba-tiba terdengar satu dentuman kuat. Kereta yang mereka naiki melambung ke atas dan terhempas ke bawah. Setelah kereta yang mereka naiki itu mencecah bumi dia melihat kearah anak-anaknya. Mereka menangis meraung kerana ketakutan. Dia melihat kearah ayahnya yang baru mula sedar dan melihat darah yang mengalir dari tangannya. Namun sebaik sahaja dia menoleh kearah suaminya dia terus menjerit dan menangis. Suaminya kelihatan seperti sedang sujud. Kepalanya terkoyak dari serpihan besi roket yang jatuh tidak jauh dari mereka. Suaminya mati di tempat kejadian. Mata Amani berair menahan sebak di dadanya ketika bercerita kepada kami.

Sebaik sahaja dia tamat ayat yang terakhir itu, anaknya Sereen yang berada di sebelah saya berlari mendapatkan Amani dan menangis sekuat hati, Sereen baru berusia enam tahun dan dia telah menyaksikan segalanya dengan matanya sendiri.

Perbualan kami terhenti seketika sementara Amani menenangkan anaknya. Dia berkata anaknya mengambil masa yang agak lama untuk pulih dari trauma peristiwa hari itu. Apa yang berlaku dalam sekelip mata mengubah keseluruhan hidup mereka.

Begitulah peritnya kehidupan mereka. Jika tidak mereka yang tercedera, pasti keluarga mereka pula yang cedera. Hidup di perantauan bukanlah senang. Lebih-lebih lagi bagi seorang balu seperti Amani..

Catatan perjalanan,
Ustazah Sakinah Omar
Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0
Sanliurfa,Turki
28 Oktober 2017

Kongsi Artikel Ini