TIMUR GHOUTAH TUNGGU MASA JADI ALEPPO KEDUA

Correction A Syrian Infant Suffering F
Setahun lalu, masyarakat antarabangsa menjadi saksi bisu kezaliman regim Presiden Bashar al Assad ke atas orang awam di bahagian timur Aleppo.
 
Pengeboman tanpa henti selama lima minggu menyaksikan lebih 600 nyawa orang awam melayang.
 
Bermula dengan kepungan, disusuli serangan udara beserta bom berangkai dan gas klorin, ia telah menjadi hukuman kepada penduduk kawasaan berkenaan yang memihak kepada kumpulan anti kerajaan. Penyembelihan yang berterusan hanya berjaya dihentikan apabila pelbagai pihak campur tangan.
 
Selepas empat tahun bertahan, pada November 2016, ia menjadi detik pengusiran apabila kumpulan penentang terpaksa berundur bersama orang awam secara berperingkat ke kawasan lain seperti Idlib untuk menyelamatkan diri dari dibunuh.
 
Kejayaan menguasai bahagian timur Aleppo, menjadikan regim dan sekutunya mendabik dada kerana tiada sebarang tindakan tegas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-PBB untuk menghentikan dasar tanpa perikemanusiaan ke atas orang awam.
 
Kini selepas setahun, Timur Ghoutah menerima nasib yang sama.
 
400,000 penduduknya terkepung, disekat bantuan kemanusiaan dan pada masa sama serangan udara bertalu-talu ke atas orang awam telah dilancarkan.
 
Sepanjang minggu lalu, lebih 181 serangan udara dibuat termasuk membabitkan senjata kimia, bom klorin.
 
Jumlah korban sebenar perbuatan tidak berhati perut itu sukar dipastikan kerana sentiasa bertambah kerana sebahagian mereka yang cedera berada dalam keadaan parah.
 
Pengisytiharannya sebagai kawasan bebas perang oleh tiga pihak iaitu Iran, Rusia dan Turki, tidak membawa sebarang makna kepada penduduk di kawasan berkenaan.
 
Kisah pelarian merebus surat khabar, memakan sampah wai ma menyembelih kucing dan anjing menjadi kebiasaan demi kelangsungan hidup.
 
Keadaan darurat yang mereka tempoh sukar digambar dan ditulis dengan perkataan.
 
“Bayangkan diri anda kelaparan selama berbulan-bulan, bayangkan anda mengikat perut dengan memakan rumput atau sampah”, kata Dr Kassem Eid, yang kini berada di Amerika Syrikat selepas berjaya melarikan diri dari Timur Ghoutah pada 2015.
 
“Satu dunia sepatutnya lantang mengenai perkara ini, mengatakan kita tidak boleh menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan”, katanya sebagaimana dipetik dari Independent.
 
Ghoutah sebelum ini pernah menyaksikan kezaliman paling teruk sepanjang enam tahun konflik berdarah termasuk serangan gas sarin pada 2013, yang disifatkan sebagai serangan senjata kimia paling buruk dalam sejarah moden.

Kongsi Artikel Ini