“Selepas ribut salji baru-baru ini, jalan untuk keluar masuk kem ini ditutup tujuh hari. Tiada siapa boleh turun naik. Tiada kenderaan yang boleh bawa air untuk diminum.
“Kami duduk di atas bukit. Keadaan sangat teruk. Tetapi kami terus berdoa kepada Allah. Tiada siapa yang yang boleh naik turun. Tiada kenderaan yang boleh bawa air minum, kami ini duduk atas gunung.
“Keadaan sangat teruk. Tetapi kami terus berdoa kepada Allah supaya ada orang menghantar kepada kami diesel dan makanan,”
Kata-kata itu diluah Solah Abdul Aziz kepada petugas misi Bantuan Kecemasan Syria Care 8.0 sebaik memasuki khemah dia dan keluarganya berlindung di kem Rais al Sin, di Arsal.
Di ruang kecil berlantaikan simen dan berdinding plastik, bersama ibu, bapa yang terbaring kerana keuzuran, adik lelaki, isteri serta bayinya, menyambut kami.
Ketika itu “dipaksanya” semua anggota misi supaya berada sedekat mungkin dengan pemanas yang sebelum ini kesejukan akibat cuaca buruk dan ribut salji.
Pada ketinggian 1,900 meter dari paras laut, kehangatan pemanas menjadi satu nikmat kepada anggota misi selepas hampir sejam meredah salji tebal untuk mengagih bantuan.
Tanpa tunggu lama, si ibu bingkas bangun menyelongkar sesuatu di sebalik langsir yang memisah ruang dengan dapur. Di tangannya oren, epal dan pisang dan sekali lagi kami “dipaksa” makan. Itu budaya Arab, begitu memuliakan tetamu walaupun dia sekeluarga terpaksa mengikat perut.
Cerita Solah, lima tahun lalu dia dan keluarganya tiba di Arsal, selepas kampung halamannya berhari-hari dibom tentera regim Bashar al Assad.
Keputusan meninggalkan tanah air dibuat selepas adik kandungnya terbunuh dalam serangan itu.
“Rumah kami sudah hancur. Ketika itu, hampir hari-hari kami diserang dengan serangan udara. Kami melarikan diri di kawasan berhampiran. Apabila serangan berhenti, balik ke kampung halaman, kami dapati kampung kami telah hancur.
Ramai orang kampung mati akibat tertimbus bangunan rumah akibat serangan tu. Kadang-kadang satu keluarga semua meninggal, mak ayah anak-anak meninggal serentak,” ceritanya.
Menurt Solah, Arsal yang terletak di seberang sempadan dengan kampung halamannya menjadi kawasan paling hampir dan selamat untuk melarikan diri dari pengeboman berterusan.
Ia juga menjadi tumpuan pelarian Syria kerana kebanyakan tuan-tuan tanah di situ memberi keizinan menduduki tanah mereka dengan tanpa mengena sesen bayaran
.
“Kawasan kami berjiran dengan Lubnan, datang dengan jalan kaki. Datang sehelai sepinggang. Masa kami sampai, penduduk tempatan banyak membantu, bagi selimut, tilam dan makanan. Mereka menerima kedatangan kami sekeluarga dengan besar hati,” katanya kepada Ketua Misi Bantuan Kecemasan Syria Care 8.0, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki.
Malangnya, sejak tiba di Arsal, nasib Solah dan keluarganya tidak banyak berubah.
Tiada banyak peluang pekerjaan untuk dia menyara keluarganya.
“ Sini tiada kerja sebab ramai orang. Sejak dua bulan ini tiada langsung kerja sebab hujan dan salji. Sebelum ini saya ada kerja tetapi tidak tetap, jelasnya.
Kisah Solah mewakili nasib lebih 50,000 pelarian Syria di Arsal yang kini terperangkap bukan sahaja dengan bencana alam tetapi dasar ketat yang dibuat pentadbiran Beirut.
Pos kawalan di serata laluan utama di situ telah menyekat pergerakan mereka untuk mencari rezeki di luar kawasan.
Ia juga menyukarkan usaha menghulur bantuan kemanusiaan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk sampai ke situ.
Ia diburukkan lagi dengan pertempuran di kawasan sempadan, di mana atas faktor keselamatan, penduduk tempatan tidak lagi dibenar menjalankan aktiviti pertanian. Larangan itu menyebabkan mereka tidak lagi memerlukan pelarian untuk melakukan kerja-kerja di ladang.
Namun, bencana yang dibawa ribut Norma, membuka semula mata masyarakat antarabangsa mengenai penderitaan penduduk di kem pelarian di sekitar Arsal.
Kehadiran pelbagai NGO dari serata dunia dan liputan media mungkin mampu menyampai mesej kepada masyarakat dunia.
Razali Awang
Media Syria Care