Terkandas di Bangkok

dgh
Enam tahun tahun lalu, beberapa hari selepas mengambil peperiksaan di sekolah tinggi, Ibrahim dan keluarganya melarikan diri dari Syria ke Lubnan dan seterusnya mengambil penerbangan ke Bangkok.
 
Ketika tiba di ibu negara Thailand dengan menggunakan visa pelancong, mereka merasai pengalaman kebebasan jauh dari sengsara perang di Syria.
Bagaimanapun selepas visa luput, mereka terpaksa tinggal sebagai pendatang tanpa izin.
 
“Kami beranganggap Thailand adalah hentian sementara,”
 
“Di mana kami boleh tinggal setahun atau dua tahun. Tetapi selepas enam tahun kami terperangkap di dalam kesusahan,” kata Ibrahim kepada Al Jazeera.
Di Thailand, Ibrahim sekeluarga memohon untuk ditempatkan semula di Amerika Syarikat, menunggu selama dua tahun tetapi tiada sebarang perkembangan.
Kemudian mereka memohon ditempatkan semula di Kanada, di mana prosesnya terpaksa dimula dari awal.
 
Di Bangkok, proses permohonan penempatan semula secara purata mengambil masa tiga hingga empat tahun, menyebabkan kebanyakan pelarian sengsara dan kecewa.
 
“Kami suka tinggal di sini, ia seperti Asia Barat. Orangnya ramah dan akan bersembang dengan anda, tidak seperti mereka di Eropah yang tidak mahu menyapa hello,” kata Ibrahim.
 
Thailand tidak menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951 dan Akta Imigresen Thai 1979 yang memperuntukan sesiapa yang tinggal selepas visa tamat sebagai pendatang tanpa izin termasuk pencari suaka politik dan pelarian.
 
Memetik kenyataan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Al Jazeera melaporkan Thailand menjadi tuan rumah kepada 103,000 pelarian dengan anggaran 6,000 menjadi pelarian bandar dari pelbagai negara termasuk Pakistan, Somalia, Vietnam, Kemboja, Iraq dan Syria.
Thailand antara negara terakhir yang masih mengekalkan konsulatnya di Damsyik, menjadikan visa mudah diperolehi bagi mereka yang ingin melarikan diri dari Syria.
Mirvat datang ke Thailand pada 2012, sejurus selepas menamatkan pengajian ijazah di Universiti Damsyik.
 
Enam tahun kemudian, dia masih berada di Bangkok bersama empat anak tetapi tidak dapat dapat meneruskan kerjayanya.
 
Perkara yang paling ditakuti bagi pelarian bandar di Bangkok adalah ditahan dan rentetan itu kebanyakan mereka tinggal dalam rumah untuk tempoh masa panjang.
“Saya tidak boleh lagi ke pasar dan saya takut pergi ke hospital. Kami rasa takut dalam segala benda,”kata Mivrat.
 
Kebimbangan ketara pelarian kebelakangan ini ekoran operasi besar-besaran polis bermula Oktober lalu selepas Surachet Hakparn dilantik sebagai Pesuruhjaya Biro Imegresen baru oleh Polis DiRaja Thailand.
 
“Operation X-Ray Outlaw Foreigner” mensasarkan dan menahan mana-mana pendatang tanpa dokumen termasuk pencari suaka politik dan pelarian.
Polis telah melancarkan serbuan ke atas ratusan pelarian serta pencari suaka politik dan mereka dimasukkan ke pusat tahanan imigresen.
Bulan lepas biro imigresen telah membatalkan jaminan kepada pelarian tanpa dokumen yang sebelum ini boleh dibebaskan dengan membayar 50,000 Baht atau AS$1,500.
 
Dianggarkan terdapat 200 pelarian telah disumbat ke pusat tahanan.
 
Pelarian dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa mereka yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sekarang ini menjadi sasaran gangguan dan penahanan.
“Pusat tahanan tidak direka untuk tempoh masa panjang, tetapi beratuas tahanan tinggal lebih dari setahun,” kata Puttanee Kangkun dari Fortify Rights kepada Al Jazeera.
 
Kebanyakannya sesak dengan lebih 300 tahanan dalam penjara yang direka untuk menempatkan 70 banduan.
 
Ia juga pencabulan hak kanak-kanak di bawah undang-undang antarabangsa, di mana mereka telah diasingkan dari ibu bapa dan adik beradik. Begitu juga kanak-kanak lelaki yang berusia di bawah 12 tahun, mereka ditempatkan dengan orang dewasa.
 
Dalam kenyataan rasminya, pihak berkuasa Thailand mendakwa sebahagian pelarian memiliki kad UNCHR palsu dan operasi yang dilakukan bagi memeriksa dokumen dan akan membebaskan semula pencari suaka yang sebenar dengan jaminan.
 
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia tempatan memberitahu Al Jazeera, perkara itu skeptikal dengan berkata bahawa kerajaan Thai boleh bekerjasama dengan UNHCR dan secara mudah boleh memeriksa data.
 
“Selain kad UNCHR, yang tidak memberi sebarang makna di bawah peruntukan undang-undang, pelarian tidak mempunyai perlindungan undang-undang,” kata Puttanee Kangkun.
 
Keadaan bermusuhan menjadikan keadaan lebih buruk kepada pelarian. Sejak beberapa tahun lalu, polis imigresen Thai telah mensasarkan pendatang Afrika di Bangkok selepas dikritik kerana mencetuskan ketegangan kaum.
 
Berbanding dengan pelarian Somali, Nigeria dan negara Afrika lain, orang Arab mempunyai kelebihan di mana mereka dapat mengelakan diri dengan lebih mudah dari pihak berkuasa dan menikmati lebih banyak kebebasan.
 
Ibrahim dan ibunya menyara hidup dengan menjual makanan jalanan Arab termasuk shawarma, humus dan roti di kalangan komuniti mereka dan masjid berhampiran. Bagaimanapun ekoran serbuan, ia terpaksa dihentikan.
 
Basil, 20 tahun, adalah pelarian Syria berketurunan Palestin berkongsi pengalaman.
“Sejak sekian lama saya boleh keluar, makan, parti dan mempunyai kehidupan di sini, tetapi ia telah berubah sekarang,” katanya.
 
“Soi Arab”, di daerah Nana, kawasan tempat tinggal mereka yang berasal dari Asia Barat di tengah kota Bangkok yang menjadi kawasan tarikan pelancong di mana pelarian muda dari Syria dan Palestin yang tidak memiliki dokumen bekerja.
 
“Saya dibayar 250 Baht (AS$7.50) untuk bekerja 12 jam mencuci pinggan dan tuan kedai memberi saki baki makanan untuk saya dan keluarga,” kata Basil.
Bagaimanapun berikutan keadaan semasa, majikan meminta pelarian supaya tidak datang.
“Tiada siapa bekerja sekarang,” jelas Basil.
 
Di sebalik serbuan yang dilakukan, pelarian memberitahu Al Jazeera, bahawa mereka tidak mengkritik kerajaan Thailand.
“Kami merasa tersisih oleh PBB.
 
“Kami tidak minta wang, hanya minta ditempatkan semula,” luah Mivrat.
Menurut sumber, sekitar 20 peratus dari pelarian Syria di Thailand telah ditempatkan semula, yang mana ia jumlah lebih tinggi berbanding kurang 1 peratus dari purata keseluruhan bagi penempatan di negara ketiga.
 
Majoritinya terdiri dari pemegang pasport Syria dan sekitar 50 orang telah meninggalkan negara itu.
Kebanyakan mereka yang terkandas adalah pelarian Palestin yang mana pilihan mereka lebih terhad.
 
Tiada pelarian Palestin ditempatkan ke negara ketiga pada 2018 termasuk ke Amerika Syarikat apabila ia dihentikan selepas Donald Trump dipilih sebagai presiden.
“Bagi kebanyakan pelarian Syria dan Palestin, kenyataan sedih adalah mereka tidak pernah dipertimbang untuk ditempatkan semula ke negara ketiga,” kata Evan Jones dari Asia Pacific Refugee Rights Network.
 
“Dengan penurunan angka, individu ini akan terperangkap dalam masyarakat Thai mungkin setahun, bahkan berdekad kerana tidak mendapat hak asasi manusia,” katanya.
 
Jika diberi pilihan, kebanyakan pelarian Palestin dan Syria ingin tinggal di Thailand. Majoriti yang ditemuramah bagi laporan ini memiliki ijazah universiti dan bekerjaya sebelum melarikan diri kerana perang.
 
Bagaimanapun berikutan batasan di kalangan masyarakat Thai, pelarian Arab berdepan dengan ancaman keselamatan.
 
“Kerajaan Thailand perlu menerima kenyataan bahawa tidak semua pelarian boleh ditempatkan semula ke negara ketiga, jadi konsep integrasi setempat perlu diambil kira bagi mengimbangi kebimbangan keselamatan dalam negara sebagai suatu penyelesaian kukuh,” kata Puttanee Kangkun.
 
Tambah Jones, tanggapan bahawa pelarian menjadi ancaman keselamatan dalam pemikiran masyarakat adalah tidak benar kerana rakyat Syria dan Palestin amat produktif, berkemahiran dan menyumbang pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang bermanfaat kepada masyarakat Thai.
 
Dianggarkan pada masa sekarang terdapat sekitar 400 pelarian Palestin yang berasal dari Syria di Bangkok.
 
Artikel ini telah diterjemah dari laporan Al Jazeera “Arab refugees in Bangkok long for home amid immigration crackdown”
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini