Sebenarnya nama saya telah dipilih dua kali sebelum ini namun misi-misi tersebut terpaksa ditunda atas banyak faktor. Perasaan saya bercampur baur bila dimaklumkan nama saya ‘naik’ sekali lagi. Teruja, gementar, gembira, takut, tak percaya semua ada.
Masakan tidak, selama tempoh menjadi seorang petugas sepenuh masa di sini saban hari saya melihat gambar dan video segala keperitan hidup mereka baik dari segi serangan mahupun agihan yang kami jalankan. Kini saya berpeluang melalui sendiri proses agihan tersebut dan berjumpa para penerima manfaat projek-projek yang kami usahakan.
Saya persiapkan diri dari segi mental dan fizikal kerana perjalanan misi sentiasa mencabar lebih-lebih lagi di musim pandemik Covid-19 ini. Semakin menghampiri tarikh keberangkatan tim, kami mendapat berita beberapa kenalan rapat yang dijangkiti virus ini.
Saya menjadi risau pula bila memikirkan varian Omicron yang senang merebak dan berjangkit. Syukur Allah jauhkan dari sebarang bahaya.
Pada 31 Mac 2022, para petugas seramai 5 orang termasuk saya berangkat ke Turki sebelum meneruskan perjalanan kami memasuki Syria. Saya pergi diiringi doa dari keluarga dan kawan-kawan “Semoga selamat pergi, selamat balik, selamat berjihad, stay safe, jaga diri, kitorang sayang kau…”.
Doakan kami dilindungi dan dipermudahkan segala urusan untuk misi kemanusiaan selama 18 hari ini ya.
Nurul Fatina binti Mohd Zain
Petugas Misi kemanusiaan Syria Care 13.0
31 Mac 2022