SYRIA ELAK RUNDINGAN DAMAI

23933 Syr 20171214 Syria Mistura Reuters 1513281125037
Semua rundingan damai yang dirintis perantara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-PBB Steffan de Mistura tidak membuahkan sebarang hasil.
 
Kegagalan itu berpunca dari pihak regim Presiden Bashar al Assad yang enggan memberi kerjasama untuk mencari penyelesaian konflik yang berlarutan lebih tujuh tahun.
 
Kekecewaannya diluahkan sendiri De Mistura kepada media selepas pusingan kelapan rundingan damai tidak langsung di Geneva, Switzerland, berakhir.
 
“Sebenarnya, wakil regim tidak berminat untuk berbincang apa-apa kecuali bercakap mengenai memerangi keganasan,” katanya yang dipetik dari TRT World.
 
Tujuh siri rundingan yang sama yang dikendalinya sebelum ini juga tidak ke mana kerana faktor yang sama.
 
Beliau yang menjadi orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian dengan cara bersemuka membabitkan kerajaan Syria dengan kumpulan penentang, sebelum ini disifatkan sebagai seorang yang tersangat optimis dengan rundingan pusingan kelapan yang berlangsung pada 28 November lalu.
 
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku kerana ia telah diboikot regim Bashar sedangkan di pihak pembangkang, mereka telah mencapai pemuafakatan untuk mencari penyelesaian melalui rundingan.
 
Menyentuh mengenai langkah seterusnya, De Mastura berkata beliau akan berbincang dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dan Majlis Keselamatan.
 
Meskipun kecewa dengan tindak tanduk regim Bashar, beliau masih berharap dapat mengadakan satu lagi rundingan pada bulan depan.
 
 

Kongsi Artikel Ini