KENYATAAN MEDIA
SYRIA CARE MENGECAM SERANGAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN
KE ATAS ORANG AWAM DI UTARA SYRIA
28 November 2024, Shah Alam – Syria Care dengan keras mengecam serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh pasukan rejim Al Assad, Rusia, dan sekutu mereka terhadap orang awam di kawasan pinggiran timur Idlib dan barat Aleppo. Serangan bertubi-tubi dilancarkan melalui udara, tembakan artileri, dan peluru berpandu telah menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal, memaksa mereka melarikan diri untuk menyelamatkan diri dalam keadaan cuaca musim sejuk yang mencengkam.
Serangan berterusan ini telah memusnahkan penempatan awam dan menyebabkan ketakutan berleluasa dalam kalangan penduduk. Ribuan keluarga kini terpaksa melarikan diri, mencari perlindungan di kawasan yang dianggap lebih selamat, walaupun tempat sedemikian semakin sukar ditemui. Suhu musim sejuk yang semakin mencengkam telah memburukkan lagi keadaan mereka yang kehilangan tempat tinggal dan tiada akses kepada keperluan asas.
Selain itu, sekolah, universiti, dan institusi awam terpaksa menghentikan operasi, termasuk empat buah sekolah tajaan rakyat Malaysia melalui Syria Care iaitu Sekolah Ulfah 1 di Aqrabat, Sekolah Ulfah 3 dan Tadika Ulfah di Wakaf Kampung Malaysia Syria Care, Al-Bardaqli, akibat serangan yang diperhebat. Penutupan ini memutuskan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan penting bagi komuniti yang sudah pun terjejas teruk oleh konflik ini.
Syria Care menyeru kepada gencatan senjata segera bagi memastikan keselamatan dan nyawa orang awam terus dilindungi. Kami juga menuntut tindakan segera daripada komuniti antarabangsa untuk menyediakan bantuan kemanusiaan asas seperti makanan, tempat berteduh, dan keperluan musim sejuk kepada mereka yang terjejas. Laluan keselamatan mesti diwujudkan dan dipelihara untuk membolehkan orang awam melarikan diri daripada kawasan konflik dengan selamat. Syria Care turut mendesak agar tindakan tegas segera diambil terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab atas serangan kejam ini, yang secara terang-terangan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kami menyeru individu, organisasi, dan kerajaan untuk menyokong usaha kemanusiaan bagi membantu mangsa konflik ini. Setiap sumbangan boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka yang terjejas.
Untuk sumbangan atau pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Syria Care di talian 013-971 5901.
Tabung ‘Winter Aid’ Palestin, Syria & Lubnan: Maybank – 5505 1424 0029.