Syria Care jadi NGO Malaysia pertama dapat pengiktirafan kerajaan Syria

Sinar

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Syria Care, pertubuhan bukan kerajaan yang khusus menyalurkan bantuan kepada rakyat Syria ketika negara itu berdepan dengan isu kekejaman pemerintah Bashar al-Assad menjadi pertubuhan pertama dari Malaysia mendapat pengiktirafan daripada kerajaan negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, segala usaha melibatkan isu bantuan kemanusiaan sepanjang lebih sedekad di Syria akhirnya membuahkan hasil walaupun pengiktirafan itu bukan menjadi keutamaan mereka.

 

“Alhamdulillah, Syria Care kini secara rasmi berdaftar di Syria.

“Kini Syria Care merupakan NGO Malaysia pertama yang diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan Syria selepas pembebasan daripada kekejaman Bashar dan segala bentuk misi kemanusiaan dapat digerakkan secara berstruktur dan sah di bumi Syam yang tercinta,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengimbau permulaan Syria Care ditubuhkan, Siti Sakinah berkata, usaha-usaha mereka bermula sejak awal tahun 2012, ketika isu Syria masih baharu dan kurang mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Beliau menjelaskan, Syria Care kemudiannya didaftarkan secara rasmi pada tahun 2014 sebagai NGO berdaftar, hasil inisiatif rakyat Malaysia yang mahu melihat perubahan dan menyampaikan bantuan secara telus dan berkesan.

 

Antara usaha dilakukan Syria Care adalah pembinaan Kampung Malaysia di utara Idlib, sebuah projek rumah kekal untuk keluarga yang sebelum ini tinggal di khemah pelarian, lengkap dengan masjid, sekolah rendah dan menengah, pusat kesihatan, sistem air dan kumbahan serta kawasan berpagar.

Selain itu, Sekolah Ulfah yang menjadi tempat perlindungan dan pembelajaran untuk lebih 300 anak yatim serta kanak-kanak daripada keluarga miskin turut dibina selain pelbagai kempen bantuan sempena Ramadan dan musim sejuk.

Syria Care juga sebelum ini bekerjasama dengan Sinar Harian menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria sewaktu gempa bumi besar melanda Turkiye dan utara Syria pada 6 Februari 2023.

“Ini bukan sekadar kelulusan di atas kertas. Ini adalah tanda kepercayaan rakyat Syria kepada kita, rakyat Malaysia. Ini adalah hasilnya daripada setiap ringgit dan doa yang anda titipkan selama bertahun-tahun.

“Daripada setiap makanan yang anda sedekahkan, daripada setiap khemah dan rumah yang anda bantu dirikan, daripada setiap anak yatim yang anda santuni dari jauh, akhirnya dunia melihat Malaysia hadir di Syria, bukan hanya dengan kata-kata tetapi dengan tindakan yang terbukti,” katanya.

Dengan pengiktirafan daripada kerajaan Syria ini juga Siti Sakinah berharap, rakyat Malaysia akan lebih mempercayai pihaknya dalam menjadi jambatan perhubungan untuk terus membantu rakyat di negara itu.

“Biarpun tiada lagi kekejaman dari Bashar, rakyat Syria masih memerlukan bantuan untuk meneruskan kesinambungan hidup dalam keadaan yang semakin mencabar pada hari ini,” katanya.

Kongsi Artikel Ini