Syarikat AS sekat dana amal Syria

Untitled
Syarikat perisian STRIPE yang berpengkalan di Amerika Syarikat didakwa menyekat akses penyaluran dana bantuan kemanusiaan ke Syria.
Menurut pertubuhan sukarela Muslim in Need, pihaknya telah dihalang untuk menerima kutipan yang dibuat komuniti Islam di negara Uncle Sam untuk dihantar ke sana.
Larangan dikenakan kerana dikatakan menyalahi peraturan perbendaharaan negara itu.
Dana yang dikumpulnya didakwa tertakluk di bawah sekatan Kawalan Aset Asing Jabatan Negara Amerika Syarikat (OFAC) yang dikuatkuasa pada 2011 sejurus selepas konflik di negara itu tercetus.
Bagaimanapun ia dipertikai kerana beberapa pertubuhan lain seperti Oxfam dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), masih mendapat akses untuk menghantar dana secara terus ke Syria.
Berikutan tindakan yang dikenakan, kutipan berjumlah AS129,283.00 atau RM528,056.41 yang dikumpul pada 10 Ramadan terakhir lalu kini ditahan STRIPE.
Dalam reaksinya kepada Middle East Eye, STRIPE memaklumkan Muslim in Need perlu mengambil kira kemungkinan duit yang dihantar diguna “untuk perkara lain” di Syria.
Mengulas perkara yang sama, pemegang amanahnya berkata dana bantuan disalur melalui rakan kongsi yang berpengkalan di Turki ke Syria dan kaedah itu dipraktik dengan meluas oleh NGO lain.
Menurut Asid Hussain, salah seorang pemegang amanah Muslim in Need, pihaknya menggunakan platform STRIPE awal tahun ini setelah dicadangkan beberapa NGO lain.
Jelasnya lagi dana yang dikumpul adalah untuk digunakan bagi membangun pusat kesihatan mental bagi wanita dan perkampungan anak yatim di dalam Syria.
“ Kami merasakan menjadi sasaran STRIPE kerana menjadi satu-satunya pertubuhan sukarela yang menerima impak berhubung isu ini.
“Kami membuat keputusan untuk memberitahu orang ramai dan memberi amaran kepada badan amal lain supaya berhenti menggunakan STRIPE. Mereka tahu kerja kita bila tandatangan kontrak dengan mereka. Insiden sebegini tidak sepatutnya berlaku,” kata Asid.
Muslim in Need ditubuhkan pada 2013 dan beroperasi di kawasan konflik seperti Gaza, Myanmar, Somalia dan sebahagian Pakistan.
Razali Awang
Media Syria Care
 

Kongsi Artikel Ini