SUBAHAT BIAR PELARIAN SYRIA KEBULURAN

Child-drinking-water-Afghanistan
Jordan tidak sepatutnya menolak rakyat Syria yang cuba mencari perlindungan di negara itu apatah lagi menghantar pulang mereka ke negara asal.
 
Perbuatan itu menjadikan keadaan mereka yang cuba menyelamat diri dari konflik yang berlaku menjadi lebih buruk.
 
Dalam tulisannya Penyelidik Human Rights Watch, Sara Kayyali menempelak dasar Amman dan layanan yang diberikan ke atas pelarian Syria selama ini.
 
“Jordan perlu elakkan kematian di gurun pasir. Keperluan segera ialah membenarkan pasukan bantuan penyelamat melepasi sempadan negara itu dan memasuki Syria, memberi kebenaran orang yang layak dan memerlukan rawatan memasuki negaranya,” tulis Sara yang kemudian dipetik Al Jazeera.
 
Berikutan keengganan Jordan yang enggan sama sekali memberi kebenaran penghantaran melalui wilayahnya ke Syria, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-PBB, bersama dengan Rusia serta Amerika Syarikat telah membuat keputusan untuk menghantarnya dari dalam Syria.
 
Perkara itu didokumentasi melalui kenyataan media pada 9 November lalu, oleh Penasihat Kemanusiaan PBB Mengenai Syria, Jan Egeland, dengan menggunakan kata-kata “Insya Allah”.
 
Tegas Sara, dalam keadaan yang amat mendesak, kenyataan itu bukan jawapan yang bagus.
 
Sebarang penghantaran dan misi bantuan kemanusiaan melalui Jordan hampir mustahil dibuat selepas negara itu bertindak untuk menghentikan kebenaran terhad penghantaran bantuan ke Rukban melalui wilayahnya, pda 8 Oktober lepas.
 
Menurut Menteri Luarnya, Ayman Safadi, kem pelarian Rukban sama sekali tidak akan menjadi tanggungjawab rakyat Jordan.
 
Katanya, segala bantuan mesti perlu datang dari dalam Syria.
 
Kenyataan itu menyebabkan tiada penyelesaian dicapai dalam usaha pengagihan bantuan kemanusiaan kepada pelarian di kawasan berkenaan kerana sebelum ini, regim Presiden Bashar al Assad tidak pernah membuat sebarang janji untuk membantu rakyatnya di situ.
 
Bahkan berdasarkan rekod lampau, Damsyik bertindak sebaliknya, iaitu menghalang sama sekali bantuan kemanusiaan ke kawasan yang dikuasai penentang dan membiarkan orang awam kebuluran.
 
“Bila kumpulan misi kemanusiaan cuba menghantar bantuan dari kawasan yang dikuasai kerajaan ke wilayah penentang, mereka berdepan dengan kesukaran lebih berat untuk mendapat kebenaran termasuk dianggap musuh, barang-barang penyelamat nyawa diambil, kebenaran yang kurang jelas selain serangan ke atas konvoi”, tulis Sara.
 
Keadaan pelarian Syria di Rukban yang terletak di tengah padang pasir yang bersempadan antara Syria, Jordan dan Iraq, amat kritikal selepas Amman menutup pintu sempadan selepas tenteranya diserang yang dipercayai dilakukan oleh IS, pada Jun 2016.
 
Sepanjang tempoh itu, ia menyekat sama sekali rakyat Syria yang cuba mencari perlindungan ke negaranya selain menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan menyeberangi sempadannya.
 
Kali terakhir kebenaran penghantaran bantuan kemanusiaan diberikan enam bulan lalu dan ia dikatakan berjaya disalur kepada 35,000 daripada 55,000 pelarian yang terkandas di kawasan berkenaan.
 
Menurut Sara, adakalanya pelarian ketiadaan air bersih yang boleh diminum sampai lebih dua minggu sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka cirit-birit dan mengalami kekurangan air dalam badan.
 
Sumber air yang ada pula sama sekali tidak boleh diminum kerana tahap kemasinan yang amat tinggi.
 
“Penduduk Rukban perlukan tempat selamat di mana anak-anak mereka tidak diserang atau mati kebuluran. Amerika Syarikat, Jordan dan Rusia perlu hentikan tuding menuding dan selesaikan krisis kemanusiaan yang serius di kem Rukban sekarang,”desak Sara.
 
Katanya, nyawa pelarian Syria pada masa kini terletak di tangan Jordan. Mereka dapat diselamatkan sekiranya Amman memberi kebenaran kepada misi kemanusiaan merentasi sempadannya untuk menyalur bantuan.
 
#SCNews

Kongsi Artikel Ini