SERINGGIT UNTUK SYRIA

Blog_Post_Winter_in_Syria
Ketika mana agensi berita utama antarabangsa mencanang laporan serangan demi serangan dengan angka kematian yang tidak pernah susut, penderitaan mereka yang tersepit dalam perang saudara di Syria tidak menampakkan petanda akan reda. Sama ada CNN, BBC wa ima al Jazeera sendiri, tajuk berita utama lebih menjurus kepada angka korban dan sasaran serangan.
 
Selepas enam tahun kebangkitan rakyat Syam menentang pemerintahan Presiden Bashar al Assad, kehilangan jiwa akibat serangan atau keganasan menjadi lumrah, yang berbeza cuma angka sahaja. Laporan dari sudut jumlah kematian tidak lagi mempunyai momentum dalam pemberitaan, kecuali yang menjadi sasaran Bashar, kaum keluarga atau pegawai kanannya.
 
Bagi yang mati, segala penderitaan yang dialami di dunia sementara ini, telah bernoktah. Apa yang menjadi isu adalah kelangsungan mereka yang masih hidup yang kini tersepit dengan perang.
 
Paparan demi paparan visual dan foto yang dimuat naik di laman sosial seperti yang dikongsi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),Syria Care hanya sebahagian daripada realiti yang berlaku di bumi anbiya itu.
 
Sebagai saudara seagama, gambaran yang ditunjukkan mengundang pelbagai reaksi. Secara fitrahnya, naluri kemanusiaan yang ada dalam diri akan memberi macam-macam reaksi.
 
Sedih, kesal dan geram dengan kekejaman yang berlaku. Namun, perasaan itu tidak mampu meringankan kesengsaraan yang mereka tanggung.
 
Berdasarkan situasi sekarang, kemelut yang berlaku di Syria memerlukan tindakan yang pro aktif daripada masyarakat antarabangsa khususnya daripada umat Islam sendiri.
 
Dalam erti kata lain bukan setakat menjadi penonton, dikongsi di laman Facebook atau Instagram dengan jumlah “Like” yang tidak membawa sebarang makna kepada mereka.
 
Dalam konteks politik antarabangsa, krisis di negara itu isu amat rumit kerana ia membabitkan pertembungan Ahlu Sunnah dengan Syiah, idealogi berbeza, selain percaturan kuasa besar iaitu Rusia serta Amerika Syarikat, tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kita untuk menyalurkan bantuan.
 
Atas Konsep Ta’awun atau tolong menolong, sengsara mereka adalah derita kita. Dalam al Quran banyak sekali ayat yang menyentuh konsep ini. Misalnya maksud Surah al Maidah, ayat 2: “Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa dan jangan tolong menolong dalam membuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya”. “Seorang Islam adalah saudara orang Islam yang lainnya. Dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya diganggu orang lain (bahkan wajib dia menolong dan membelanya. Barangsiapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah Azza wa Jalla akan sentiasa menolongnya. Barangsiapa melapangkan kesulitan orang Islam, maka Allah akan melapangkan baginya salah satu kesempitan di Hari Kiamat dan barangsiapa yang menutup (aib) orang Islam, maka Allah akan menutupi aibnya pada Hari Kiamat (Maksud hadis Sahih Bukhari no. 2442 dan 6951).
 
Realitinya, pelbagai cara untuk membantu mangsa perang di Syria. Ia boleh direalisasikan mengikut kemampuan masing-masing. Bagi penulis, sumbangan seringgit untuk Syria mampu menyelamatkan jutaan nyawa mangsa peperangan. Bayangkan jika satu pertiga masyarakat Islam di negara ini menyumbang seringgit sebulan, berapa banyak kutipan yang dibuat.
 
Ketika bersembang dengan Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar, dia mengharapkan sumbangan kewangan berterusan terutama menjelang musim sejuk yang akan datang pada bila bila masa di mana suhunya dijangka menjunam di bawah paras beku.
 
Katanya, berikutan keperluan itu, tumpuan diberikan untuk mendapatkan bekalan kayu api, tong gas selain keperluan asas yang lain terutama makanan dan susu.
 
“Kepada rakyat Malaysia yang prihatin, marilah bersama menghulurkan bantuan dan iringi doa buat mereka. Kami akan teruskan projek #Care4Syria, # Food4Syria dan #Milk4Syria,” rayunya. Jelas Siti Sakinah lagi, pihaknya bekerjasama dengan NGO tempatan dan akan mengagihkan bantuan berkenaan di enam kawasan termasuk di Homs dan Latakia.
 
Matanya berkaca kerana menahan sebak ketika menceritakan pengalaman bersama wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa perang.
 
“Jika nenek muda ini mampu membantu, mengapa tidak kita,” pertanyaan itu saya lontarkan pada diri sendiri. Ingatlah, mungkin RM1 angkanya agak kecil di sini, namun ia dapat menyelamat jutaan nyawa mangsa perang Syria yang kini berdepan dengan maut. Sebarang maklumat sila layari Facebook, Instgram/Twitter: @syriacare
 
Razali Awang Wartawan bebas

Kongsi Artikel Ini