Senjata makan tuan

Kkk

Insiden pesawat pengintip Rusia Il-20 yang ditembak jatuh pada Selasa lalu, ibarat senjata makan tuan.

Dalam kejadian yang membunuh kesemua penumpang dan anak kapal, ia bukan bersepai kerana ditembak peluru musuh, tetapi misil yang dihasilkan negara itu sendiri yang selama ini dibekal kepada sekutunya, Syria.

Dalam ulasannya kepada Business Insider, penganalisis Washington Institute for Near East Policy, Anna Borshchevskaya berkata, keadaan ruang udara yang begitu sibuk, insiden itu tidak mengejutkan.

Namun pada masa yang sama ia menuding jari, kejadian yang berlaku kerana kelemahan pentadbiran Presiden Vladimir Putin yang disifatkannya sebagai tidak berkuasa untuk melindungi rakyat sendiri.

“Ini bukan pertama kali bila Putin tidak dapat melindungi rakyatnya”, katanya.

Pada mulanya, Kementerian Pertahanan Rusia menyalahkan Israel yang dituduhnya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan dan menggeluarkan amaran keras akan bertindak balas.

Namun, kenyataan Putin kemudiannya, membuka pekung sendiri selepas beliau tidak menyalah atau menjanjikan tindakan balas sebaliknya menyifatkan ia sebagai kemalangan tragis apabila mengetahui ia perbuatan sekutunya, regim Bashar al Assad.

Dua hari selepas insiden, Kremlin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendiriannya terhadap kesilapan yang dilakukan Damsyik.

Pada Putin, kepentingan menjaga kuasa sekutunya lebih penting berbanding nyawa rakyat sendiri.

Tiga tahun selepas mencampuri secara langsung dalam konflik di Syria, Moscow kini terpaksa membayar harga yang tidak ternilai.

Selain nyawa rakyat sendiri, negara itu semakin terasing dan ekonominya kini dilapor semakin merudum.

Menurut Business Insider, Putin telah mempunyai masa dan masih ada masa dengan menegaskan dirinya sebagai seorang tokoh yang kuat dengan memenuhi kekosongan ditinggalkan Amerika Syarikat yang menolak untuk terbabit secara langsung dengan konflik di Syria, tetapi dari masa ke masa, beliau gagal melindungi rakyat sendiri.

“Putin memenuhi kekosongan di Syria tetapi beliau tidak terlalu kuat untuk melakukan itu,” lapornya.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini