SEMANGAT IMAN TIDAK CACAT

Dsc06415
Bersemuka dengan mangsa konflik Syria memerlukan kekuatan mental, jiwa dan fizikal. Jika tidak, pertemuan akan berlapuk dengan tangisan air mata. Hakikatnya, kecekalan itu berada di luar lingkungan jantina serta usia sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda.
 
Peluang bersetentang mata dengan pelarian yang berada dalam Turki memberi pelbagai impak pada jiwa dan persepsi, apatah lagi yang ditemui tidak lagi sempurna anggota badan.
 
Ketika Misi Kemanusiaan Syria Care merentasi Reyhanli, terdapat 1001 cerita yang dapat dikongsi. Keluhan, kesedihan dan ada kalanya luahan rasa putus asa, benar-benar menguji kekuatan serta menjadi pelengkap kepada misi yang turut sama dibantu Pertubuhan Bukan Kerajaan NGO Syria, Muassasah Al Ahbab.
 
Dalam perkisahan, ada keluhan, kesedihan dan ada kalanya luahan rasa putus asa, saling tidak putus.
 
Di sebalik cerita yang melankolik, kisah Iman Misriy menyuntik semangat kami untuk terus istiqamah dalam menabur bakti kepada pelarian Syria.
 
Pertemuan pada mulanya berlangsung di kediamannya yang terletak di belakang jalan utama di pinggir Reyhanli. Berbekalkan maklumat rakan kami, Hassan Rihhal ke lokasi untuk menjemputnya sebelum meneruskan misi pengagihan bantuan.
 
Sekilas pandang tiada apa cacat atau cela pada dirinya.
 
Namun di sebalik jubah hitam yang menutupi susuk kecil badan wanita itu, terlindung kecacatan kekal, sebelah kakinya kudung kerana terkena bom empat tahun lalu.
 
Peperangan juga telah membawa ibu muda berusia 30 an, berkelana ke bandar yang bersempadan dengan Syria bersama dua anak lelakinya.
 
“Ketika itu dia sedang berjalan pulang ke arah rumahnya di Damsyik. Dia tidak mendengar sebarang bunyi pada awalnya. Namun, tiba-tiba satu dentuman kuat kedengaran di hadapannya. Apabila sahaja dia sedar dia sudah tercampak jauh dari tempat dia berjalan pada awalnya tadi. Kaki kirinya dari bawah lutut sudah tiada. Dia menceritakan sehingga ke saat ini dia tidak tahu ke mana pergi kakinya itu…”, cerita Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki.
 
Kejadian itu bukan sahaja menjadikan Iman cacat tetapi merobah dirinya dalam segala aspek.
 
Apakan tidak, jika dulu berdikari hampir dalam segala segi, kini dia perlu bergantung kepada orang lain.
 
Di sebalik dugaan yang berlaku, ia membangkitkan semangat srikandi dalam dirinya.
 
“Iman bertanya kepada dirinya sampai bila dia harus begini? Dia tidak suka orang melihatnya dengan pandangan kesian. Dia harus bangkit dan meneruskan kehidupannya sebaik mungkin. Dia tidak mahu lagi bersedih atas apa yang dia tidak miliki. Ini ketentuan Allah ke atasnya. Hidup perlu diteruskan. Sebagai insan kurang upaya dia faham apa yang perlu dibuat”, kata Siti Sakinah yang berkongsi kisah dengan Iman.
 
Dugaan itu tidak merencat semangatnya. Bahkan Iman mengumpul segala kudrat untuk membela bukan setakat pelarian Syria di Reyhanli bahkan mereka yang kudung anggota badan sepertinya.
 
Sebaik pulih daripada kecederaan, dia mengambil inisiatif dengan mengumpulkan kaum sejenisnya yang menjadi mangsa peperangan. Dari situ Iman memberi kursus dalam pelbagai bidang agar mereka mampu berusaha untuk mencari sumber kewangan sendiri.
 
Kecekalan itu disaksikan sendiri, di mana dia bersama anggota misi Syria Care menyelinap masuk beberapa kediaman untuk kami agihkan sumbangan yang diderma rakyat Malaysia.
 
Iman mungkin cacat anggota badan tetapi tidak pada semangatnya.
 
Semoga sumbangan rakyat Malaysia akan terus mendorongnya untuk terus membantu mereka yang senasib.
 
Jangan kita biarkan Iman sendirian dalam melaksana usaha murni ini. Mereka amat mengharapkan sumbangan dari kita untuk menolong lebih ramai lagi yang lain.
 
Bagi membantu mereka, derma boleh dibuat melalu akaun Syria Care:
 
-Maybank: 562106653575
-CIMB Islamic: 8601894560
-RHB Bank: 26225000021775
-Affin Islamic Bank: 105990040004

Kongsi Artikel Ini