SELAMAT TINGGAL TIMUR GHOUTAH

wire-438367-1492794067-750_634x422

Selamat tinggal Timur Ghoutah

Pengeboman tanpa henti bermula 18 Februari lalu yang mengorban lebih 1,700 memberi kesan besar kepada benteng terakhir kumpulan penentang anti kerajaan di pinggir Damsyik.

Jika sebelum ini, selama lima tahun mereka berlawan dengan kepungan serta sekatan, namun operasi besar-besaran dengan pelbagai bentuk serangan dan jenis bom, telah memaksa kumpulan yang mempertahan Timur Ghoutah menerima pelan pengusiran keluar yang dikelola sekutu kuat regim Bashar iaitu Rusia.

Selepas bandar berkenaan musnah teruk dengan jumlah korban dan kecederaan yang tinggi di kalangan orang awam, tiada jalan lain bagi mereka kecuali keluar dari situ, nasib yang sama diterima pejuang anti kerajaan dari Aleppo setahun lalu.

Asakan bertubi-tubi selama hampir sebulan menjadikan satu persatu-persatu kawasan yang dikuasai mereka jatuh.

Sepanjang tempoh itu juga, operasi kemanusiaan oleh sukarelawan untuk membantu orang awam telah menjadi perangkap maut. Tiada siapa terkecuali dari menjadi mangsa serangan udara dan tembakan meriam regim Bashar dan konco-konconya

Semuanya musnah dibaham peledak termasuk dapur yang beroperasi melalui hasil sumbangan pelbagai pihak melalui Syria Care di Timur Ghoutah yang dikendalikan rakan kongsinya, Al Sham Humanitarian Reconstruction Foundation atau lebih dikenali sebagai Emarusham, yang selama ini membekalkan makanan kepada penduduk di kawasan itu.

Lebih tragis, serangan di luar batasan kemanusiaan, turut meragut nyawa beberapa anak yatim tajaan rakyat Malaysia.

Sebelum itu, Amin Hallaq yang selama ini mengabdi diri kepada kerja-kerja kemanusiaan Syria Care di Timur Ghoutah, telah syahid dalam serangan pada 9 Februari lalu.

Ramai yang senasib dengannya, menjadi wira tidak didendang yang telah bergadai nyawa menjadi talian hayat penduduk yang terkepung.

Kini mereka bersama yang lain, juga terpaksa keluar dari situ.

“Lihatlah sekeliling kamu, semuanya telahpun musnah. Mereka telah datang ke Timur Ghoutah dan musnahkan segala benda,” kata salah seorang sukarelawan melalui pesanan sistem pesanan suara WhatsAppp kepada Syria Care sebaik beredar meninggalkan kawasan itu.

Mulai semalam juga, pejuang Jaish al Sham mengikut jejak Ahrar al Sham dan Faylaq al Rahman.

Selepas Harasta, Arbin, Zamalka dan akhirnya, Douma, bandar terbesar di Timur Ghoutah, akhirnya terpaksa akur dengan tawaran untuk meletak senjata dan keluar ke kawasan lain bersama anggota keluarga dan orang awam ke Jarablus.

Keputusan itu mengakhiri kubu penentangan paling hampir dari pusat pentadbiran regim Bashar, Damsyik, yang mana jaraknya hanya 16 kilometer.

Realitinya sejak proses pengunduran bermula, lebih 41,000 telahpun meninggalkan bumi Ghoutah dan ramai lagi akan berbuat demikian kerana enggan tunduk dengan pentadbiran diktator Bashar.

Mereka keluar dalam keadaan bermaruah meskipun dicaci-maki oleh tentera kerajaan dan dalam sesetengah kes bas yang membawa mereka dibaling batu dan ditembak oleh penyokong Bashar.

Bumi Timur Ghoutah ditinggalkan dengan penuh kenangan tanpa harta benda dan barangan berharga.

“Segala yang bermakna kepada kami, rumah kami, tanah kami….telah kami tinggalkan,” Abu Jawad selepas mengakhiri perjalanan sejauh 320 kilometer dari Timur Ghoutah ke Idlib.

Ketika ditemuramah Al Jazeera, dia yang tiba bersama isteri dan bayi perempuan berusia 18 bulan berkata meninggalkan Timur Ghoutah 28 Mac lalu, kurang seminggu selepas Faylaq al Rahman bersetuju dengan rancangan Rusia untuk berundur keluar dari Timur Ghoutah.

“Saya ambil kunci rumah yang pernah didiami. Ia benda yangg amat berharga,” kata Moayad, 29 tahun yang tiba dari Zamalka bersama isteri dan tiga adik beradik serta keluarga masing-masing.

Jirannya yang dikenali Abu Yahya berkata, dia membawa kunci rumah, kereta, motorsikal dan tadika, tempat di mana dia pernah kendalikan.

“Saya ambil semua kunci dengan harapan satu hari kelak akan kembali. Sekiranya rumah telah musnah, kunci ini akan kekal sebagai pusaka yang pernah kami miliki sehingga ke saat-saat akhir,” luahnya kepada Al Jazeera.

Kongsi Artikel Ini