Sehingga kita ketemu lagi….

78614286_1034949750177277_3504566341417828352_n

Sehingga kita ketemu lagi….

Kerja yang payah akan menjadi mudah dengan izin Allah. Sebab itu dalam semua perkara “naiwaitu” adalah asas yang akan menentu dan mencorakkan apa juga perbuatan.

Bagi si anak, kerja yang dilakukan juga akan “dipermudahkan” dengan restu daripada kedua ibu bapa manakala untuk si isteri perkenan sang suami adalah kunci yang membawa kepada rahmat.

Begitu hebatnya restu dalam melestari kerja-kerja seharian sehingga ia menjadi satu ibadat.

Namun, apa yang dilakukan mendapat pakej tambahan dengan doa yang datang daripada ulama tersohor, di serata alam yang dipanggil Syeikhul Islam.

Indah sungguh permulaan Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0 kali ini.

19 Oktober 2019, tercatat dalam sejarah peribadi selepas sekian lama memasang hajat, hasrat untuk berjumpa dengan Sheikh Yusof al Qaradhawi, telah menjadi kenyataan. Hakikatnya ia satu pencapaian kerana berjaya juga bersalam, memberi kucupan, mencium tangan dan duduk di sisinya.

Apakan tidak teruja, dari alam persekolahan, hasil tulisan dan pandangannya mengenai fikah semasa sering menjadi rujukan.
Mesir menghasilkan ramai ulama, namun nama Al Qaradawi antara yang begitu mendapat tempat di hati umat Islam di negara ini.

Kalau hendak dikira populariti dan tempat di hati, beliau dikira sebaris dengan pengasas Ikhwanul Muslimin, As Syahid Sheikh Hassan al Bana.

Sebab itu, ketika dimaklumkan yang pertemuan mendapat kebenaran, rasa tidak sabar untuk menatap wajahnya dari dekat.

Ketika meninggalkan Syiria (dieja begitu) Community School yang menempatkan lebih 1000 pelajar Syria di Doha, sejurus selepas azan Zohor, perjalanan kami ditemani hujan gerimis.

Ketika itu, hati terus berdoa, semoga pertemuan ini dipermudah dan menjadi kenyataan.

Kami berenam dibawa ke satu kawasan kediaman yang bertembok tinggi dan dikawal ketat kerana beliau pada ketika ini diberi perlindungan politik oleh kerajaan Qatar kerana menjadi orang buruan Presiden Abdel Fattah al Sisi.

Hampir 10 minit berada di luar kediaman, kami dipelawa masuk ke ruang tamu rumah agam, yang turut menempatkan pejabat beliau.

Di situ kami menunggu sekitar 20 minit, sambil dilayani dua pembantu rumah perempuan dari Filipina sebelum pembantu peribadinya datang membawa ke ruang pejabat khas.

Alhamdulillah, tidak sampai 10 minit, figura yang ditunggu muncul. Aku senyum dan terus senyum sementara menunggu peluang untuk mencium tangannya.

Dari dekat keliharan fizikalnya tidak lagi sekuat dulu.

Diri ini dikira paling beruntung. Bukan semua orang berpeluang dapat berada begitu dekat dengan tokoh tersohor yang kini berusia 93 tahun yang menghasilkan kitab-kitab agama tersohor seperti Fī fiqh al Awlawīyāt: Dirāsah Jadīdah fī Dawʼ Al Qurʼān wa alSunnah, Al Halal wal Haram fil Islam, Min Fiqh al Dawlah fi al Islam dan lebih 120 buah lagi yang dikarang beliau.

Faktor usia sedikit sebanyak menjejaskan pendengaran Dr. Yusof al Qaradawi dan begitu pertemuan yang dirancang berjalan lancar.

Aku duduk di sebelah kiri dan tidak henti-henti menatap wajah beliau.

Dikongsinya cerita mengenai umat Islam di Malaysia dan Indonesia di masa lalu dan aku kira, sepertimana sayang rakyat serta hormat umat Islam di sebelah Asia Tenggara kepada beliau, perasaan yang sama tersemat di hatinya.

Pertemuan yang diketuai Pengurusi Syria Care, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki berjalan lancar dan atas faktor kesihatan beliau, ia tidak boleh lama.

Namun sebelum beredar, beliau menitipkan kata-kata dan doa restu untuk kami.

“Aku doakan taufik dalam kerja-kerja kamu dan kejayaan dalam misi yang dilaksanakan.

“Pada diri kamu, negara kamu dan negara sekeliling kamu.

“Dan bawalah risalah Islamiyah untuk semua orang seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W”.

Kata-kata ini akan aku ingati sampai ke hujung nyawa. Fi AmaniLlah. Sehingga kita ketemu lagi Sheikh…

Razali Awang
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Doha, Qatar
19 November 2019

#travelogmisi
#misikemanusiaansyriacare11
#bantuanmusimsejuk7
#inibukankerjamainmain

Kongsi Artikel Ini