Sebaik tiba di Arsal, sahabat kami Abu Ibrahim memaklumkan kami akan tinggal di sebuah rumah di atas bukit berhampiran kem yang pernah kami ziarah tiga tahun lalu

Saya berasa sangat teruja menunggu masa kami ke sana. Melangkah masuk ke kawasan kem Ra’sus Sin hari ini, Omma disambut begitu mesra oleh kanak-kanak yang menghuninya. Omma tidak dapat menahan air mata berjumpa anak-anak yang pernah kami santuni. Apatah lagi ketika bertemu Hussein, anak yang Omma jumpa tidak memakai stokin dan kasut walaupun salji tebal dan Omma sendiri kesejukan yang teramat. Yasmin dan As’ad yang memimpin tangan Omma sepanjang Omma berjalan sekitar kem keramat ini. Puan Fatimah yang menghidang teh ‘potong kaki’ buat Omma dan tim. Sobah dan keluarganya yang menjemput kami masuk ketika salji mula turun sekali lagi di Arsal setelah ribut Norma melanda beberapa hari sebelumnya. Semuanya masih Omma ingat dengan jelas. Masih terasa kehangatan kemesraan antara kami. Dan hari ini sepertinya ikatan itu disuburkan kembali dengan kedatangan Omma dan tim di sini. Sungguh Omma sebagai perantara di antara para penyumbang di Malaysia dan penerima manfaat di sini. Semoga kebaikan yang anda berikan akan diteruskan di masa akan datang. Buat mereka, buat kita. Hadirkan keperihatinan anda. Layari, www.oderfood.my Siti Sakinah binti Meor Omar Baki Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0 Arsal, Lubnan 12 April 2022

Kongsi Artikel Ini