Ghiyas Al Yatim guru Geografi yang kudung akibat peperangan

278620195 1711682922503953 2107549990183572957 N

Pada 4 April 2022, para petugas misi telah menziarahi Ghiyas Al Yatim di Reyhanli, Turki yang merupakan bekas seorang guru Geografi yang komited suatu masa dahulu. Beliau mempunyai seorang isteri dan enam orang anak, salah seorang dari mereka telah berkahwin manakala lima lagi tinggal dengannya.

Ghiyas kini kudung kedua belah tangannya akibat serangan yang berlaku ketika beliau sedang berada di sekolah. Menurutnya, kali pertama kedengaran bunyi ledakan, ramai berpusu-pusu ke kawasan kejadian untuk membantu sesiapa yang cedera. Namun, kawasan yang sama diserang kali kedua (double tap) mencederakan ramai orang termasuk Ghiyas sendiri.

Saya bertanya kepadanya apa yang berlaku selepas itu? Adakah dia sedar atau pengsan? Ghiyas menyambung bicara “Saya dalam keadaan sedar dan terus perasan kedua belah tangan saya telah tiada. Ketika itu yang keluar dari bibir saya hanyalah Alhamdulillah.

Selepas kejadian, Ghiyas dikejarkan ke hospital di Turki untuk mendapatkan rawatan, ditemani isterinya. Beberapa siri pembedahan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan dirinya. Kejadian yang berlaku dalam tahun 2016 itu, telah mengubah seluruh perjalanan hidupnya.

Menziarahi Ghiyas seperti mendapat pengajaran hidup paling besar. Redhonya pada takdir sungguh luar biasa. Dalam setiap patah bicaranya, beliau sentiasa senyum dan tidak putus-putus mengucapkan kesyukuran atas ujian yang menimpa. Ujar beliau, ganjaran sabar ke atas setiap ujian yang diberi sangat tinggi nilainya di sisi Allah SWT. Itulah keyakinan yang mendorong beliau meneruskan kehidupan.

Kehidupan sebagai pelarian di negara orang sangatlah sukar, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang kudung kedua belah tangannya. Peperangan Ukraine dan Rusia memburukkan keadaan kerana kos barangan keperluan melambung tinggi.

Syria Care mewakili para dermawan telah menghulurkan bantuan buat Ghiyas dan keluarganya. Sedikit ihsan ini diharap dapat memberi sinar buat mereka meraikan Ramadan.

Nurdieana binti Mohd. Mardzi
Ketua Pegawai Strategik, Syria Care
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0
Reyhanli, Turki
12 April 2022

#syriacaremedia #misikemanusiaansyriacare13 #syriacareprojects #syriacareforhumanity
#kempenramadanalkhair10
#raikanramadanbersama #KRAK10

Kongsi Artikel Ini