Pertembungan AS-Iran tenggelamkan isu Syria

Whatsapp Image 2020 01 09 At 10.17.29 Am(1)

Reaksi balas Iran dengan melancarkan serangan ke atas pengkalan tentera Iraq yang menempatkan askar Amerika Syarikat di Anbar dan Erbil pada Rabu bagi membalas pembunuhan Ketua Pengawal Revolusi (IRGC), Qassim Suleimani menenggelamkan terus pembunuhan dan pembantaian berterusan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia ke atas orang awam di selatan Idlib dan Hama.

Selepas serangan yang meragut nyawa tokoh yang memainkan peranan langsung Tehran dalam percaturan kuasanya di Asia Barat seperti di Syria, Iraq dan Lubnan, pemerhati dan penganalisis menjangkakan kesan lebih buruk.

Kegilaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump terhadap dasar sebenarnya di rantau itu sehingga mengarahkan pembunuhan komander keselamatan dan perisikan Iran dianggap sebagai asbab yang menjadi bom masa untuk mencetuskan perang terbuka dengan Tehran.

Selama ini keupayaan persenjataan dengan program senjata nuklearnya menjadi iguan kepada Washington.

Sekiranya ketegangan yang berlaku memasuki fasa perang konvensional, ia akan membabitkan segala kepentingan Amerika Syarikat bukan sahaja di rantau berkenaan, tetapi ke serata dunia termasuk di bumi Uncle Sam.

Pandangan mengenainya dikongsi penganalisis pertahanan Harry Kazianis dalam program bual bicara CNBC.
“Tehran mempunyai keupayaan untuk melakukan macam-macam kerosakan bukan sahaja kepada pengkalan tentera tetapi kapal perang dan segala bentuk pengkalan Amerika Syarikat di rantau itu,” katanya.

Menurut Agensi Perisikan Pertahanan Amerika Syarikat (DIA) yang dikeluarkan pada Disember lalu, kekuatan ketenteraan Iran bergantung kepada tiga keupayaan.

Pertama, program misil balistik, kekuatan tentera laut yang boleh mengancam pelayaran di Negara Teluk yang kaya dengan minyak dan proksi militan di luar negara seperti Syria, Iraq dan Lubnan.

Tehran sendiri mengakui mempunyai senjata canggih seperti peluru berpandu balistik Shahab yang mempunyai keupayaan untuk mencapai sasaran sehingga 2,000 kilometer dengan membawa pelbagai peledak yang mampu mengenai Israel dan kepentingan seterunya yang lain di Asia Barat.

Kenyataan DIA mengenai proksi militan Iran di negara luar menjadi ancaman terhadap semua kepentingan Amerika Syarikat dan warganegaranya di serata dunia.

Pembunuhan terhadap Qassim mengingatkan semula dua siri serangan yang dikaitkan dengan militan Iran dan Hezbollah di Beunos Aires pada awal 90 an yang membunuh lebih 100 nyawa.

Pada 1992, serangan bom kereta di luar ibu negara Argentina itu membunuh 29 orang. Dua tahun kemudian trak yang sarat dengan bahan peledak telah diletup di luar pusat komuniti Yahudi meragut 85 jiwa.

Iran dan konco-konconya bertekad kematian Qassim perlu dibayar dengan harga yang tinggi sehingga ke tahap perang.

Namun bagi mereka yang menjadi mangsa percaturan beliau, khususnya di Syria, pembunuhannya sama sekali tidak ditangisi tetapi dirai kerana beliau dianggap sebagai orang penting yang membekalkan askar upahan ketika awal kebangkitan rakyat menentang Bashar pada 2011.

Lebih dari itu, Qassim menjadi penggerak strategi untuk membendung kumpulan penentang dengan bantuan ketenteraan, logistik dan dana kewangan.

Pembabitannya dan IRCG, Hezbollah dan militan Syiah bagi membantu regim Bashar dan Rusia menggempur Latakia, Homs, Aleppo dan beberapa bandar lain, menjadikan nama Qassim begitu dibenci orang awam Syria yang menjadi mangsa konflik.

Kematiannya ditangisi dan bagi golongan Syiah, tokoh berusia 62 tahun dianggap syahid dan kini berada di syurga bersama imam-imam besar mereka. Namun bagi mereka yang menjadi mangsa, ia suatu kelegaan.

Di sebalik perasaan gembira, ia tidak memberi apa-apa makna kepada kesengsaraan yang ditanggung pelarian Syria.

Sama ada Qassim hidup atau mati, mereka berterusan diserang. Lebih malang lagi, konflik yang bakal memasuki tahun kesembilan pada Mac ini nampaknya semakin tenggelam dengan perkembangan terkini Amerika Syarikat-Iran.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini