Perlahan-lahan suhu semakin menurun

Travelog Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0

Perlahan-lahan suhu semakin menurun, cahaya semakin hilang, keletihan semakin jelas terukir di raut wajah para petugas. Misi kali ini kami perlu menempuh perjalanan jauh untuk mencapai daerah-daerah yang tidak tercapai sebelum ini. Keluar pagi pulang malam hampir setiap hari.

Jam menunjukkan pukul 5.00 petang, bermakna lagi 30 minit untuk masuk waktu maghrib. Ini adalah kem terakhir yang kami lawati untuk misi kali ini. Kem ini baru sahaja dibangunkan hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Syria Care. Apa yang membuatkan kami lebih terharu apabila nama kem ini diambil sempena dengan nama NGO kami iaitu Kem Syria Care. Penduduk di sini tidak berhenti melafazkan kalimah “Syukran Malizia, syukran Syria Care”. Kanak-kanak pula melonjak gembira mengiringi kami sepanjang di kem ini. Tidak kurang juga yang sentiasa meminta untuk diambil gambarnya.

Dalam kemeriahan sambutan dari penduduk kem, kami juga terlihat di beberapa sudut tapak kem ada penduduk yang menyalakan unggun api menggunakan dahan-dahan dari pokok zaitun yang dipetik dari pokok berhampiran. Semakin hilang cahaya matahari semakin meningkat tahap kedinginan sehinggakan kami yang berbaju dan berjaket tebal ini pun mula berpeluk tubuh. Apatah lagi mereka, kebanyakan hanya berselipar dan ada juga yang berkaki ayam.

Azan maghrib berkumandang sayup dari kejauhan, kemudian ianya disahut dan terus disahut dari corong-corong pembesar suara masjid dan surau berdekatan. Kami perlu bergerak pulang ke kediaman segera kerana ia merupakan polisi keselamatan (pulang sebelum gelap) yang perlu kami patuhi sepanjang misi. Agihan barangan bantuan pun kami lakukan cukup untuk bahan dokumentasi dan serahkan kepada petugas tempatan Syria Care untuk melakukan agihan sehingga selesai.

Dalam kekalutan agihan dan keberangkatan pulang, aku terbuai keseorangan di jendela kenderaan melayan senja nan indah, gusar dan gundah. Bagaimana masa depan mereka. Di sini (Malaysia) jika anak kita mahu menjadi doktor, jurutera, peniaga, kita hanya perlu menunjuk jalan di setiap persimpangan jalan hidup. Bagaimana pula anak-anak di kem ini.

Ammar Abu Kasim
Petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Kem Syria Care, Kah, Ref Idlib
28 November 2019

Kongsi Artikel Ini