PERANCIS MINTA AS KEKAL DI SYRIA

WhatsApp Image 2018-04-16 at 07.42.20

Presiden Perancis, Emmanuel Macron meyakinkan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengekalkan tentera negara itu di Syria.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kepada keperluan selain meminta ia berada di sana untuk tempoh masa panjang.

“10 hari lalu, Presiden Trump telah berkata Amerika Syarikat perlu mengundur dari Syria. Saya memujuk beliau terdapat keperluan untuk terus kekal,” kata beliau ketika ditemuramah BFM TV, radio RMC dan portal Mediapart.

Mengulas mengenai operasi serangan udara ke atas lokasi yang menghasilkan senjata kimia, beliau berkata, ia telah sempurna dilancarkan.

“semua peluru berpandu kita mengenai sasaran,” katanya sebagaimana dilapor TRT World.

Jelasnya lagi, menurut rancangan asal Trump, White House tidak menetapkan sasaran terperinci dalam operasi pada Sabtu lalu.

“Kami juga memujuk beliau (Trump) bahawa kita perlu hadkan serangan ke atas tapak senjata kimia,”kata Macron.

Menyentuh mengenai penyelesaian kemelut yang berlaku di Syria, beliau berkata, ingin terbabit dalam dialog dengan semua pihak yang terlibat termasuk, Rusia.

Tambahnya, keadaan menjadi semakin teruk dengan campur tangan Moscow yang menyokong tindak tanduk regim Bashar al Assad.

“Sudah tentu mereka bersekongkol melakukan perkara yang salah. Mereka tidak menggunakan klorin untuk diri sendiri tetapi mereka telah membuat kaedah untuk tidak membolehkan masyarakat antarabangsa bertindak melalui saluran diplomatik bagi menghentikan penggunaan senjata kimia,” kata Macron yang merujuk kepada pendirian Rusia berhubung isu berkenaan.

Kongsi Artikel Ini