Kisah Karim, bayi berusia dua bulan yang hilang sebelah mata dan cedera teruk kerana serangan tentera regim Presiden Bashar Al-Assad di Timur Ghouthah, mendapat perhatian Duta dan Wakil Tetap United Kingdom ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Matthew Rycroft.
Sebagai tanda sokongan beliau menutup sebelah mata yang menjadi tanda simbolik kecacatan yang kini ditanggung mangsa.
Dalam statusnya di laman Twitter, Rycroft menyuarakan kebimbangan situasi yang berlaku di Timur Ghoutah.
“Ketika kita duduk di Majlis Keselamatan PBB dan memberi amaran bahawa ketiadaan tindakan bermakna lebih ramai orang akan mati.
Lebih banyak sekolah dibom. Ramai kanak-kanak yang ketakutan. Ini yang kami maksudkan.
“Kita mesti mengakhiri pengeboman dan kepungan ke atas Timur Ghoutah.
“#SolidarityWithKarim,” katanya.
Kisah Karim menjadi tular selepas ia dikongsi di laman sosial. Mesej dalam bahasa Arab, Inggeris dan Turki telah disebar dengan meluas melalui Twitter.
“#BabyKarim I see you,” dan “#EasternGhouta siege must end” antara kata pagar yang dimuat naik pengguna laman sosial itu.
Karim, mengalami kecederaan selepas rumah keluarganya terkena tembakan meriam oleh tentera regim Bashar al Assad.
Dalam kejadian pada 29 Oktober lalu, dia mengalami kecacatan kekal selepas hilang mata sebelah kiri manakala tengkoraknya turut pecah.
Serangan yang sama turut meragut nyawa ibunya yang mati serta merta di tempat kejadian.