Omma rindu Taha

162574226_1416788128660102_3557597315317037139_n

Omma rindu Taha.

Siapa yang pernah lihat video ketika Omma pertama kali melawat Kampung Malaysia mungkin perasan wajah ini yang menyambut kami di pagar hadapan.

Taha merupakan anak yang istimewa. Walaupun pertama kali bersua dengannya Omma rasa tertarik kepadanya. Yang Omma tidak sedar ketika itu adalah, Omma pernah mengetahui tentangnya.

Dua malam lepas,sewaktu hendak memejamkan mata hati Omma begitu kuat teringatkannya. Terus Omma hubungi petugas kami di sana bertanyakan tentang Taha.

Menurut Shadi, namanya Bara’ namun lebih dikenali sebagai Taha. Usianya 11 tahun dan keluarganya yang berasal dari Homs sangat faqir. Dia berlainan upaya, tetapi bercita-cita untuk menjadi kontraktor kerana mahu pindahkan keluarganya dari khemah yang mereka duduki ke sebuah rumah.

Setelah Shadi kongsikan maklumat berkenaan Taha,baru Omma teringat. Bagaimana pula Omma tidak perasan itu dia sewaktu di sana? Omma pernah lihat video tentangnya beberapa bulan lepas. Dan Omma betanya Sheikh Samir, ada kemungkinan tak untuk menjejakinya?

Petugas di sana terus turun padang menjejaki tempat tinggal Taha dan keluarganya. Dan setelah usul periksa untuk memastikan kelayakan mereka, Taha dan keluarganya dibawa pindah dari khemah usang mereka ke Kampung Malaysia Syria Care.

Malam itu Omma menangis teresak-esak seorang diri dalam bilik yang dingin ini (Omma masih menjalani kuarantin). Omma bukan sahaja menangis kerana berasa rindu yang teramat kepada anak istimewa ini, Omma menangis kerana Omma tidak perasan itu Taha yang Omma sendiri begitu hendak berjumpa dengannya sebelum ke sana.

Takdir Allah sewaktu bertemu dengannya Omma tidak terlintas langsung. Namun begitu,perasaan kasih tetap tertumpah padanya dalam pertemuan singkat itu.

Sewaktu pusing keliling Kampung Malaysia Taha mengiringi serta berjalan bersama Omma. Sewaktu majlis perasmian pun, apabila nampak kelibat Taha, Omma panggil dia menghampiri Omma (gambar post).

Semoga ada rezeki bagi Omma bertemu Taha dan penghuni Kampung Malaysia serta pelarian-pelarian yang lain. Mereka semua bersyukur tidak terhingga kerana dapat menghuni di situ.

Namun projek perumahan ini belum siap sepenuhnya. Perhatian serta sumbangan wakaf orang ramai masih diperlukan.
https://syriacare.org.my/wakafperumahanpelariansyria/

Sebarkan tentangnya ya?

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 12.0
Mac 2021
Al Bardaqli Syria

#iamahumanitarianworker
#misikemanusiaansyriacare12#ommawrites#kampungmalaysiasyriacare#darikhemahkerumah

Kongsi Artikel Ini