Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0 : Menjejaki Iman di Idlib

23132014_1489282194491947_7597514311352449388_n

Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0 : Menjejaki Iman – Mangsa Pengeboman di Idlib
31 Oktober 2017

Pihak pengurusan Syria Care sangat tersentuh hati melihat gambar adik Iman yang mana hanya terbaring dan memandang kakinya yang terputus selepas satu serangan bom di Jisr Al-Sughur, Idlib September 2017 yang lalu. Bertambah pilu apabila bapa, adik dan bapa saudaranya terbunuh dalam kejadian itu. Dia langsung tidak menangis dan seolah-olah masih trauma dengan apa yang dia baru tempuhi.

Dalam kesempatan Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0, pihak Syria Care dengan bantuan rakan-rakan kerjasama di dalam Syria berusaha untuk mencari dan menjejaki adik Iman dan akhirnya kami temui dia di Idlib. Walaupun, pihak kami tidak dapat terus masuk ke Idlib namun kami bertemu dengan anak hebat ini di suatu tempat yang bernama Ma’arrah di Maahad Abdullah Ibnu Huzafah iaitu sebuah maahad di bawah selian Syria Care yang mana ketika ini maahad ini terletak di dalam sebuah masjid yang dibina oleh Turkiye Diyanet Vakfi.

Ketika pertemuan berlangsung, datuknya menunjukkan kaki yang terputus itu dan terdapat juga kesan serpihan bom di bahagian perutnya. Untuk makluman semua, akibat daripada serangan tersebut, kini adik Iman terpaksa memakai lampin pakai buang atas faktor kesulitan yang dia hadapi. Subhanallah, walaupun besar dugaannya tetapi dia masih kuat semangat dan mampu berbicara dengan kami walaupun masih dalam keadaan yang sangat lemah sebenarnya.

Kami sempat juga bertemu dengan ibu adik Iman dan ibunya sangat berterima kasih atas keprihatinan terhadap apa yang menimpa anaknya. Dalam pertemuan ini, pihak Syria Care telah menghulurkan bantuan kewangan dan segala kos perubatan untuk adik Iman akan dibiayai oleh Syria Care bergantung kepada keperluan.

Lihat pada pautan dibawah berita tentang adik Iman selepas serangan tersebut: https://goo.gl/v5wceY

Kongsi Artikel Ini