Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0 diteruskan dengan menziarahi sekolah untuk anak yatim perempuan. Sekolah yang diberi nama Madrasah Ruwat As-Shamilah ini terletak di bandar Atma, Idlib.
Sekolah ini terdiri daripada dua buah kontena yang usang tanpa prasarana yang cukup yang seharusnya dipunyai setiap sekolah. Lagi menyedihkan, apabila musim hujan, atap kontena akan mulai bocor. Pada musim panas pula, anak-anak ini seperti berada di dalam ketuhar. Selain itu, sekolah yang menempatkan seramai kira-kira 117 orang pelajar ini mempunyai satu bilik darjah dan satu pejabat pentadbiran yang terletak di antara dua buah kontena tersebut.
Ketika menziarahi sekolah ini, para petugas telah berjumpa dengan guru-guru dan mendengar sendiri daripada mereka tentang masalah-masalah yang dihadapi. Oleh yang demikian, seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, Syria Care merancang untuk memindahkan anak-anak yatim perempuan ini ke bangunan baru Madrasah Ulfah. Diharapkan dengan adanya bangunan baru itu, pelajar-pelajar perempuan di sekolah tersebut mampu untuk lebih fokus terhadap pelajaran mereka.
#syriacaremedia #misikemanusiaansyriacare11 #bantuanmusimsejuk7 #syriacareforhumanity #inibukankerjamainmain