Merenung ke arah tembok sempadan di antara Turki dan Syria

Bahagian atas bukit itu Syria. Yang bawah Turki. Di awal konflik berlaku, urusan keluar masuk ke Turki tidaklah terlalu rumit. Namun sekarang tidak lagi.

Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sesiapa sahaja yang cuba untuk memasuki Turki melalui cara haram dengan menyeberangi tembok ini, akan ditembak dengan peluru hidup. Teringat suara tembakan yang Omma dan tim dengar pada waktu malam sewaktu menginap berhampiran kawasan ini.

Menyeberangi tembok ini juga tidak mudah. Para pelarian terpaksa membayar wang sebanyak 3,000 USD kepada tekong yang akan meletak tangga di tembok sembilan meter ini. Ada yang berjaya lepas. Ada yang patah kaki dan tangan, tak kurang juga yang meninggal dunia kerana terjatuh. Omma juga difahamkan bahagian bawahnya dipasang eletrik.

Salah seorang pelarian pernah berkata kepada Omma.
“Rakyat Syria dizalimi bukan sedikit. Kalau kami tidak mati di bawah bedilan bom dan roket, kami mati akibat kelaparan, atau ketika hendak melarikan diri. Namun kekejaman pemerintah yang kejam di negara kami masih berleluasa walaupun konflik memasuki tahun kesebelas”.

Dari awal penglibatan Omma mengangkat isu pergolakan di Syria, memang Omma bertekad untuk menjadi suara mereka yang ditindas. Perjalanan ini masih panjang rupanya….

Mahukah anda bersama Omma membantu mereka?

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 13.0
Reyhanli, Türkiye
4 April 2022

Kongsi Artikel Ini